Anwar lancar logo Malaysia Madani
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan logo Malaysia Madani, satu konsep yang diperkenalkannya sebagai usaha memacu dan memulihkan maruah dan kegemilangan Malaysia di arena global.
Menurut infografik yang disiarkan di laman Facebook dan Twitternya, logo itu menampilkan reka bentuk seperti tapak tangan yang mengandungi empat warna Jalur Gemilang.
Lima jari berjalur merah dan putih yang ditonjolkan dalam logo itu melambangkan prinsip Rukun Negara, asas ideologi Malaysia, manakala bulatan biru pada ‘telapak tangan’ menandakan permuafakatan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Lambang bulan sabit yang mewakili agama Islam sebagai agama Persekutuan, turut dijadikan sebagai salah satu elemen logo, selain bintang 14 mata yang menandakan perpaduan di antara 13 negeri dan Wilayah Persekutuan Persekutuan.
Empat warna yang digunakan untuk logo ialah biru, melambangkan perpaduan nasional, keterangkuman dan persaudaraan; merah (keberanian, identiti dan keazaman); kuning (nilai tradisi, budaya dan kearifan tempatan); dan putih (kemuliaan, kesucian hati dan niat baik).
Anwar dalam catatan yang sama berkata Malaysia Madani dicadangkan olehnya sebagai jalan ke hadapan untuk Malaysia serta masyarakat berbilang kaum dan budaya.
“Kami akan berusaha untuk menegakkan nilai-nilai ini dengan sebaik mungkin,” katanya.
Konsep yang diperkenalkan secara rasminya pada 19 Jan lepas itu berteraskan enam tunjang iaitu kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan.