Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap ditwarkan dengan harga lebih rendah
PAKEJ Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Fixed Internet Broadband) disasarkan bagi membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas dengan harga lebih rendah.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pakej tersebut menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had (unlimited data).
“Harga yang ditawarkan hanya RM69.00 sebulan dan ia akan bermula pada Mac 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan.
“Harga pakej yang ditawarkan 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89.00 bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak,” kata Fahmi dalam satu kenyataan.
Ujar Fahmi, pakej tersebut adalah dengan kerjasama daripada syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro.
“Inisiatif ini bukan sahaja seiring dengan hasrat untuk meringankan beban rakyat, malahan merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat serta terus berusaha dalan memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh
dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia MADANI,” katanya. – SM