Nasionalpilihan

TVET bukan lagi pilihan kedua – KM Melaka

Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dilihat bukan lagi menjadi pilihan kedua dalam kalangan pelajar untuk mendapat pekerjaan dan meraih pendapatan setimpal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, di Malaysia sudah mula menampakkan pasaran mereka yang ada kemahiran tinggi dalam bidang teknologi dan vokasional kini menjadi pilihan pemain industri mencari pekerja.

Menurutnya, di Jerman yang terkenal dengan sektor pembuatan kereta melihat kira-kira 70 peratus rakyatnya memilih aliran vokasional sebagai sumber pekerjaan utama.

Justeru katanya, melihat kepada perkembangan tersebut ia telah mendorong kerajaan negeri menubuhkan Majlis TVET Melaka yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains,
Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Rais Yasin.

“Ramai dalam kalangan anak-anak mempunyai kemahiran dan pemikiran teknikal yang tidak pernah digilap yang akhirnya mereka ini tercicir.

“Mereka ini sebenarnya mempunyai bakat yang perlu kita gilap dan di Malaysia sudah menampakkan bidang teknikal mempunyai pasaran yang tinggi dalam kalangan pemain industri.

“Ini sekali gus memudahkan pemain industri berkaitan mencari pekerja melibatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Duta TVET Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) di Dewan Canselor UTeM, Durian Tunggal di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Yusof Apdal, Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Hasim Hasan.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, inisiatif UTeM menganjurkan Duta TVET merupakan program yang diinspirasikan untuk mengilmukan masyarakat melalui aktiviti pemindahan dan perkongsian teknologi.

Jelasnya, program yang diadakan di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Tanjong Bidara dan Bukit Katil dilihat dapat mendekatkan lagi masyarakat dengan TVET.

“Program ini amat penting bagi membina satu persepsi yang positif dalam kalangan ibu bapa bahawa bidang teknikal dan vokasional mampu memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak mereka,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button