MahkamahNasional

Saman fitnah Anwar Ibrahim: Muhyiddin telahpun failkan pernyataan pembelaan

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Januari lepas.

Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam SN Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata, semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini, mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Februari ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Februari secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya menerusi WhatsApp seperti mana dilaporkan FMT.

Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Muhyiddin sebagai defendan.

Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa pada 5 Disember lepas, Muhyiddin telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa “Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai” di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Azman Nasrudin bagi PRU15.

Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button