NegeriRencah Hidup

Raja Muda berkenan ketuai kayuhan MAIPs Peduli 83 kali 2022

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli sebanyak 83 kali sepanjang tahun 2022 bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Sebanyak RM1,875,300 telah disumbangkan oleh MAIPs melalui Baginda sama ada secara terus di rumah yang disinggah sepanjang kayuhan atau diwakilkan kepada amil setiap kariah untuk diserahkan kepada asnaf terpilih di kawasan masing-masing di awal setiap program sebelum sesi bermula.

Bagi 81 kali kayuhan yang diadakan di segenap pelosok negeri ini, sebanyak RM1,871,100 telah disalurkan kepada 2,673 penerima.

Setiap seorang menerima RM700.

Related Articles

Manakala dua kali kayuhan telah dilaksanakan di Phuket, Thailand sempena Program Ziarah Mahabbah MAIPs dan di Slim River, Perak bersama pihak FGV sebanyak RM4,200 untuk enam penerima.

Demikian makluman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor selepas mengiringi Raja Muda Perlis ke program penutup tirai kalendar kayuhan MAIPs Peduli Ke-83 bagi tahun 2022 baru-baru ini.

Antara rumah-rumah asnaf terpilih yang disantuni Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang DiPertua MAIPs adalah Abdul Rashid Ismail, 74, yang tinggal di Kampung Simpang Empat, Ku Lah Ku Desa, 65, Kampung Sungai Baru dan Zulkefli Dar, 58, Kampung Bunga Emas.

Baginda turut berkenan singgah merasmikan Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs, sebuah kedai makan Warung Celah Pokok di Kampung Titi Berapa Simpang Empat yang diusahakan oleh Mohd Darishadizam Mohd Radzi ,29.

MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) telah menyumbangkan RM4,666 kepada beliau sebelum ini untuk membeli peralatan berniaga seperti mesin ais kacang, dapur tiga tunku, dapur goreng ayam dan dapur masak air.

Di akhir program Raja Muda menzahirkan rasa syukur dan amat berterima kasih kepada semua penyumbang zakat melalui MAIPs walau di mana berada.

Baginda juga menghargai masa dan bantuan semua warga kerja MAIPs serta ketua-ketua jabatan, agensi, organisasi dan juga individu-individu yang menjayakan program amal ini bukan sahaja pada tahun lalu, malah sejak ia diadakan sejak beberapa tahun lalu lagi.

Sesi kayuhan pertama pembuka tirai pada tahun 2023 akan diadakan pada 5 Januari ini di sekitar bandar Kangar bersama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button