Nasional

Coronavirus: Demi rakyat, Tunku Ismail tidak akan berdiam diri lagi

PEMANGKU Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah akan melakukan apa sahaja yang termampu berkaitan aduan mengenai isu Coronavirus.

Tunku Ismail bertitah, ramai yang meminta baginda untuk bersuara dan melakukan sesuatu berkenaan isu virus dari China yang sedang merebak di Malaysia.

“Demi anda semua, saya, Ismail Ibrahim akan lakukan apa sahaja yang saya mampu untuk anda dan keluarga anda semua kerana itu adalah sumpah saya ketika saya ditabalkan menjadi Tunku Mahkota Johor (di Istana Besar Johor Bahru pada 12 Safar 1431H).

“Kepada Allah Kami Berserah. Semoga Allah S.W.T berkati kita semua,” titah Tunku Ismail dalam satu hantaran di media sosial rasmi baginda.

Dalam hantaran itu Tunku Ismail turut mengingatkan rakyat bahawa dua tahun yang lalu baginda telah memberi pandangan tetapi telah dinasihatkan oleh rakyat supaya tidak masuk campur.

Menurut baginda, ketika itu rakyat yang baginda bela menyarankan agar untuk berdiam dan tidak masuk campur urusan politik dan kerajaan.

Tunku Ismail bertitah, baginda sanggup dicaci dan dimaki untuk membela kedaulatan negeri Johor dan rakyat seluruh negara tetapi telah disuruh berdiam diri.

“Dan hari ini apabila negara dilanda pelbagai krisis, anda semua menyeru kepada saya untuk melakukan sesuatu. Allah S.W.T Maha Kaya, Maha Esa, Maha Adil dan Maha Berkuasa.

“Hari ini saya berharap anda semua sedar iaitu apa yang saya jangkakan pada dua tahun lalu telah terjadi pada hari ini,” titah Tunku Ismail.

Menurut baginda, sepanjang dua tahun setiap hari banyak aduan disampaikan kepada baginda berkenaan isu pentadbiran, agama, perkauman, ekonomi dan terbaharu mengenai kesihatan.

Justeru demi rakyat, baginda tidak lagi akan berdiam diri. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button