Jasa Almarhum Tan Sri Wan Mohd Zahid dikenang warga UPSI
Tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin yang pulang ke rahmatullah jam 10.00 pagi semalam adalah satu kehilangan bagi warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berikutan Allahyarham pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dari tahun 2016 sehingga 2019.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyatakan bahawa Allahyarham Tan Sri Wan Zahid adalah tokoh pendidikan yang banyak memberi sumbangan besar dalam memartabatkan pendidikan negara.
Malahan, katanya, beliau juga telah mengaspirasikan kecemerlangan UPSI dengan menerapkan konsep roh pendidik.
“Kami terharu dan melahirkan kesedihan atas pemergiannya. Jasa beliau akan dikenang sepanjang masa oleh segenap warga UPSII,” katanya.
Sementara itu Pesuruhjaya Kehormat (PA)(Dr) Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby yang juga mantan Ahli Lembaga Pengarah UPSI, berkata Almarhum adalah pemimpin yang sangat disukai dan dihormati beliau.
“Tan Sri adalah ketua yang tidak begitu senang hendak memberi idea biasa-biasa. Sekirannya hendak buat terbaik kepada negara mestilah dengan idea luar biasa, “ katanya mengimbas saat bersama Allahyarham.
Antara kata-kata Almarhum yang segar dalam ingatannya adalah “Kita selaku ketua haruslah menjadi seperti lilin. Membakar diri utk pastikan semua orang mendapat cahaya terang.”
“Baginya seorang pemimpin harus bermati-matian untuk memastikan anak bangsa dan negara hidup sempurna!,” katanya.
Sebagai mengenang jasanya terhadap dunia pendidikan tanah air, tiga kakitangan UPSI bergabung tenaga menulis sebuah buku biografi tentang Allahyarham yang mengambil masa tiga tahun sempat disiapkan baru-baru ini.
Buku berjudul “Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara” yang diterbitkan tahun ini oleh Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI) menyingkap pelbagai kisah di sebalik kehidupan Allahyarham.
Buku biografi itu ditangani oleh Prof Dr Abdul Halim Ali, Prof Madya Dr Ghazali Din serta Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain dan sepanjang proses melengkapkan maklumat Allahyarham memberi kerjasama yang baik.
Prof Abdul Halim berkata proses mengumpul maklumat bermula awal tahun 2019 untuk menulis kisah Allahyarham sebagai guru, pentadbir, pemikir, pemimpin tertinggi pendidikan negara dan juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta pemimpin pelbagai institusi pendidikan awam Malaysia, agensi kerajaan dan koporat.
“Penglibatan Allahyarham bukan setakat pelaksana yang menyampaikan ilmu di bilik darjah, namun beliau secara praktikalnya menjadi perancang, penggubal, pengatur dan penterjemah yang sangat cemerlang dalam konteks pembangunan dan pembaharuan pendidikan Malaysia,” katanya.