Ekonomi

Inisiatif agrofood@ECER pacu agenda keselamatan makanan negara

Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama  kerajaan-kerajaan negeri serta kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan giat melaksanakan pelbagai projek untuk meningkatkan tahap sara diri makanan negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import dalam mendepani isu sekuriti makanan negara.

Negara kini berdepan dengan cabaran sekuriti makanan akibat ketidaktentuan geopolitik dan penularan pandemik yang telah memberi impak kepada rantaian bekalan makanan global yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat Malaysia dan pasaran tempatan.

Cabaran semasa ini telah mendorong ECERDC untuk menggiatkan usaha untuk terus komited menerajui inisiatif sekuriti makanan negara melalui projek-projek di bawah inisiatif agrofood@ECER.

Antara projek utama di bawah inisiatif ini ialah Lembah Tenusu ECER, Makanan Ternakan,  Tanaman Kelapa, Fertigasi serta Transformasi Industri Perikanan di Tok Bali dan Akuakultur.

Projek-projek ini juga selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tahap sara diri (SSL) makanan negara.

Related Articles

Kerjasama awam-swasta

Model Syarikat Induk yang dilaksanakan dalam projek-projek ECERDC merupakan kerjasama awam-swasta, di mana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi dan jabatan yang berkaitan bekerjasama dengan pemain industri swasta bagi membangunkan industri pertanian secara mampan.

Kerjasama ini termasuk pembangunan infrastruktur strategik, aktiviti penjanaan pelaburan, serta pengendalian keseluruhan aktiviti rantaian nilai pengeluaran makanan.

Antara syarikat-syarikat induk ECERDC yang berjaya ialah CSC Integrated Herbal Farm Sdn. Bhd. (CSC) yang memenangi ‘Anugerah Pemasar Industri Tani Terbaik’ yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2022) pada 6 Ogos 2022.

Anugerah ini membuktikan strategi pengurusan dan pemasaran rantaian bekalan syarikat CSC adalah efisien dalam pengedaran lebih 200 jenis produk agro makanan hingga ke pengguna akhir bagi kedua-dua pasaran tempatan dan antarabangsa.

CSC merupakan syarikat induk ECERDC bagi Projek Pembangunan Kluster Herba Bersepadu (HICD) Chegar Perah di Lipis, Pahang yang merupakan tapak penanaman herba Tongkat Ali secara komersial terbesar di Malaysia dan dijangka akan mengeluarkan Tongkat Ali sebanyak 6.3 tan metrik menjelang 2023.

Syarikat Induk ECERDC yang lain adalah Farm Fresh Berhad, pengeluar susu Farm Fresh yang mengoperasikan Pusat Inovasi dan Penyelidikan Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di Pahang dan Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn. Bhd. (RIPI), Syarikat Induk bagi Ladang Nanas Bersepadu Rompin yang mengeluarkan nanas MD2 berjenama Rompine.

Farm Fresh adalah jenama yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Farm Fresh Berhad mengeluarkan sebanyak 7.1 juta liter susu segar yang menyumbang 15% kepada Kadar Sara Diri (SSR) susu segar negara dan telah menembusi pasaran serantau lain seperti Hong Kong, Indonesia dan Filipina. Sehingga Jun 2022, sebanyak 3.2 juta liter susu segar telah dihasilkan.

Syarikat ini juga telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 22 Mac 2022.

Manakala RIPI telah mengeluarkan sebanyak 2,480MT nanas MD2 setakat Jun 2022 dan telah berjaya mengeksport nanas berjenama Rompine ke luar negara termasuk Bahrain, Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Oman, Arab Saudi, China serta Jepun, selain di pasaran domestik.

PEMODENAN SEKTOR PERTANIAN MENERUSI agrofood@ECER

Hala tuju ECERDC menerusi agrofood@ECER adalah membangunkan industri agromakanan ke arah mencapai tahap sara diri yang secara langsung akan mengurangkan kebergantungan import, selaras dengan aspirasi ECERDC untuk meletakkan ECER sebagai antara wilayah pengeluar makanan utama negara.

ECERDC berhasrat untuk memodenkan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi pertanian pintar dalam usaha meningkatkan kualiti penanaman dan pengeluaran hasil tanaman ketahap optimum.

ECERDC menggalakkan usahawan tani mengutamakan penggunaan dan pengintegrasian teknologi terkini dalam bidang pertanian untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil pertanian di peringkat hiliran dan huluan.

Usaha ini melibatkan penggunaan teknologi Industri 4.0 seperti pengkomputeran awan (cloud computing) dan aplikasi Internet of Things untuk memantau dan melaksanakan kaedah pertanian baharu yang boleh meningkatkan daya tahan tanaman atau kesihatan ternakan, sekaligus meningkatkan hasil dan kecekapan penggunaan tanah.

PROJEK LEMBAH TENUSU ECER BAKAL JAMIN BEKALAN SUSU NEGARA

Bagi membangunkan dan mempertingkatkan lagi kemampuan dan kapasiti pengeluaran sektor tenusu negara, ECERDC telah mencadangkan Lembah Tenusu ECER yang merangkumi projek-projek tenusi di Lojing, Kelantan; Bukit Kajang dan Sungai Ketam di Pahang Barat; dan negeri Terengganu untuk mencapai sasaran memenuhi 40% keperluan susu segar negara menjelang tahun 2030.

Projek terbaru ECERDC ialah Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing, Johor bagi memenuhi keperluan semasa susu segar negara, yang pada masa ini adalah sebanyak 64.3 juta liter setahun (DOSM 2020).

Apabila projek JDV seluas 275 hektar ini beroperasi sepenuhnya pada tahun 2024 kelak, ia akan meningkatkan bekalan pengeluaran susu negara sebanyak 10% iaitu 5.1 juta liter setahun.

Syarikat Induk dijangka melabur sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga tahun pengoperasian dan seterusnya melahirkan 30 peladang satelit serta mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, ECERDC juga sedang merancang pembangunan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (PPSK) dan Pusat Penjualan Makanan Ternakan (PPMT) di negeri Kelantan.

Kedua-dua PPSK yang akan dibangunkan di Jajahan Pasir Puteh dan Ketereh bakal dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan susu kambing yang disasarkan mencecah 2,000 liter sehari dan PPSK di Ketereh juga akan dilengkapi dengan kemudahan pempasteuran dan pembungkusan susu kambing.

TRANSFORMASI PERIKANAN DI ECER

Bagi menerokai potensi industri perikanan dan menjamin ketersediaan bekalan ikan untuk  (DOF) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang bekerjasama melaksanakan Projek Rintis Transfomasi Perikanan Tok Bali. Pembangunan ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama dari tahun 2021 sehingga 2024, dan fasa kedua dari 2025 sehingga 2026.

Ia meliputi pembangunan vesel moden bagi tangkapan laut dalam, mengenal pasti pelabur bagi aktiviti hiliran, merangka dan melaksanakan program pembangunan kru vesel laut dalam tempatan di bawah Akademi Perikanan Malaysia, Chendering dan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut serta menaiktaraf
infrastuktur tempata.

ECERDC juga di dalam perancangan untuk meningkatkan pengeluaran akuakultur terutamanya ikan air tawar – patin dan talapia di wilayah ECER menerusi aktiviti akuakultur.

Projek ini melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perikanan Malaysia dan kawasan yang telah dikenal pasti adalah Empang Jaleh, Pahang dan juga Danau Tok Uban, Kelantan.

Selain daripada projek-projek di atas, ECERDC juga sedang membangunkan Taman Pemprosesan Ikan Endau Mersing (EMFPP) di Johor dan dijangka siap pada September 2022.

Pembangunan EMFPP ini adalah bagi menyediakan lot Industri Kecil Sederhana (IKS) dan infrastruktur sokongan untuk memberi peluang kepada syarikat perikanan IKS menggunakan kemudahan yang dibangunkan.

PENGLIBATAN ECERDC DI MAHA 2022

Bagi menampilkan usaha dan kemajuan inisiatif agrofood@ECER, ECERDC telah menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2022) yang bermula sejak 4 Ogos lalu sehingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

ECERDC berada di Pavilion Keluarga Malaysia bersama Jabatan Perdana Menteri dan juga di pavilion-pavilion negeri di bawah Wilayah ECER iaitu di Pavilion Johor, Pahang dan Terengganu. Para pengunjung boleh melihat model skala JDV di Pavillion Negeri Johor dan mendapatkan susu percuma di reruai ECERDC di sana.

Para pengunjung juga boleh membawa anak-anak ke petting zoo di Pavilion Negeri Pahang dan membeli daging Dorper (baka bebiri) di Pavilion Negeri Terengganu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button