BeritaNasionalNegeriPendidikan

Raja Muda rasmi penubuhan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) pertama di Perlis

RAJA Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan julung kalinya penubuhan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis.

UMAM dijangka beroperasi di Kompleks Wisma Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di UniCiti Alam, Sungai Chuchuh, Padang Besar.

SUARA MERDEKA difahamkan, UMAM merupakan universiti pertama dari Indonesia yang meluaskan kampus pengajian tingginya di luar negara.

Universiti Muhammadiyah ni ditubuhkan oleh Persyarikatan Muhammadiyah yang disokong sepenuhnya oleh Perguruan Tinggi Muhammadiyah – ‘Aisyiyah (PTMA) di Indonesia.

Related Articles

Penyempurnaan penubuhan UMAM itu diperkenan Raja Muda Perlis ketika merasmikan persidangan “International Summit on Knowledge Advancement (ISKA) 2022 anjuran UMAM di Hotel Seri Malaysia Kangar, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Prof. Dr. KH Haedar Nashir dan Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto.

Raja Muda Perlis dalam titah mengingatkan 150 delegasi dari kalangan rektor dan kepimpinan Muhammadiyah dari seluruh pelosok negara Indonesia bahawa budaya berilmu adalah penting kerana kepincangannya boleh merosakkan akidah dan akhlak manusia.

Menurut baginda, ISKA ini boleh menjadi wadah kepada penghasilan ilmu baru yang saban hari dapat membantu kemaslahatan ummah masa kini.

“Keberhasilan ini dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi serta mampu melahirkan modal insan yang mempunyai “wisdom” yakni hikmah kebijaksanaan yang pelbagai,” titah Baginda.

Raja Muda bertitah, gunakan peluang yang terhidang ini sebagai bekalan untuk hari akan datang, ibarat bunga kembang tak lama, mewangi di pagi, layu di senja melabuh.

Titah Baginda, dengan kesinambungan dan kesedaran yang tinggi maka kewangian itu dapat dikekalkan dan berkembang dengan pelbagai cara yang dinamik.

Sesuai dengan slogan UMAM – “Cemerlang Pendidikan , Melahirkan Insan Bervisi”, Baginda berdoa agar UMAM terus maju jaya untuk menjadi sebuah institusi pendidikan global yang semakin hebat dan mampu melahirkan ramai anak bangsa berilmu tinggi.

Sempena majlis tersebut Baginda berkenan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara lima Universiti Muhammadiyah di Indonesia iaitu Universiti Muhammadiyah Kalimantan Timur, Universiti Muhammadiyah Tanggerang, Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara, Universiti Muhammadiyah Riau dan Universiti Muhammadiyah Bangka Belitung. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button