PAMM2022 fokus manuskrip perundangan warisan tempatan dan dunia sebagai khazanah ilmu
Persidangan dan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu (PAMM) 2022 yang bermula semalam bertemakan “Manuskrip Perundangan Melayu: Korpus Warisan Tempatan dan Dunia” adalah antara usaha pemartabatan dan pelestarian dokumen bertulis warisan bangsa Melayu dalam bidang undang-undang yakni manuskrip Hukum Kanun Melaka (MSS 23) koleksi PNM.
Persidangan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia(PNM) dengan kerjasama Institut Peradaban Melayu (IPM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya , Datuk Seri Dr Santhara J.P di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah disertai lebih 400 peserta melibat 23 pembentang.
Beliau berkata persidangan ini bertepatan dengan matlamat dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menerusi pemuliharaan warisan dan budaya.
“Saya melihat potensi daerah Muallim, tempat tertubuhnya UPSI dijadikan bandar pelancongan pendidikan,” katanya.
Pemilihan tema persidangan sangat signifikan dengan semangat bulan kemerdekaan apabila sudah 63 tahun negara merdeka berteraskan prionsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.
Dalam konteks pemerintahan kerajaan hari ini, katanya, manuskrip Hukum Kanon Melaka sebagai asas perlembagaan adalah sejajar dengan nilai keterangkuman, kebersamaan, serta nilai kesyukuran dalam Keluarga Malaysia.
Ucaptama disampaikan oleh Ketua pengarah /Ketua Hakim Syarie , Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar .
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI melalui Institut Peradaban Melayu (IPM) juga sedang giat menterjemahkan 8 tujahan penyelidikan yang memfokuskan kepada Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Warisan dan Budaya Melayu, Institusi Raja-Raja Melayu, Falsafah Melayu, Politik, Agama dan Sistem Kepercayaan, Ekonomi dan Sains Teknologi, Orang Asal dan Etnik Peribumi serta Genealogi.
IPM UPSI, katanya, mengharapkan kerjasama dari pelbagai pihak menggiatkan kajian penyelidikan bersama-sama rakan strategik dan hasilnya dapat mengangkat elemen peradaban dan sejarah sebagai satu nilai tambah baharu dalam sektor pelancongan yang memfokuskan kepada knowledge experience ekonomi sekaligus mengangkat kembali peradaban Melayu di persada dunia.
“Usaha ini selaras dengan pencalonan manuskrip tersebut yang dikenal pasti mempunyai kepentingan serta signifikan serantau dan global sekaligus berpotensi memenuhi semua kriteria untuk dinobatkan sebagai UNESCO Memory of The World (MoW) International Register.
Beliau berkata penganjuran PAMM 2022 diharap mampu menggalakkan usaha-usaha mengembalikan semula kegemilangan tulisan tulisan Jawi, menambah baik kandungan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) peringkat sekolah dan pengajian tinggi dalam subjek berkaitan sejarah pembentukan undang-undang dan perlembagaan negara serta meningkatkan imej dan reputasi Malaysia di persada dunia sebagai pemilik naskhah karya agung undang-undang Melayu.
Pengarah IPM, Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata UPSI komited mengangkat khazanah kebudayaan Melayu ke persada dunia melalui PAMM 2022 berikutan manuskrip Melayu adalah warisan bernilai dalam mengkaji kehebatan dan pencapaian masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang, seperti ilmu falak, ilmu perubatan, ilmu pertukangan, seni bina, teknologi pembuatan kapal, ilmu bedil/persenjataan Melayu, dan lain-lain sejak dahulu lagi, termasuklah ilmu undang-undang atau hukum yang menjadi fokus pembicaraan persidangan ini.
Usaha sama PNM dan IPM, UPSI, katanya, menjadi landasan menggalakkan masyarakat menghargai manuskrip Melayu sebagai manifestasi kearifan ilmuwan Melayu Islam yang memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan manuskrip Melayu sebagai sumber pensejarahan yang utama dan sahih.
Selain itu juga persidangan PAMM ini merupakan satu wadah kepada para penyelidik manuskrip Melayu dari seluruh dunia berwacana dan menjalinkan kerjasama strategik dengan hasrat membugarkan kembali manuskrip Melayu sebagai produk knowledge tourism yang mampu memberi sumbangan besar dalam industri pelancongan negara.
Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI, katanya, mempunyai lebih kurang 4,000 koleksi nadir yang berkaitan dengan sejarah, sastera, perguruan dan rekod tokoh-tokoh guru zaman Sultan Idris Training College atau SITC (1922-1957) dalam bahasa Inggeris dan Melayu yang ditulis dalam tulisan jawi.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab berkata setiap dua tahun PNM merancang melaksanakan persidangan dan manuskrip Melayu antarabangsa manuskrip Melayu mengikut tema tertentu.
Tema perundangan kali ini, katanya, adalah julung-julung kali diwacanakan dalam persidangan bagi mencelikkan pemikiran masyarakat umum berlandaskan ilmu undang-undang.
Hadir sama Pengerusi Lembaga pengarah Universiti, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah.
Majlis diserikan persembahan Tari Kreasi Baharu: Gema Melayu yang dipersembahkan oleh pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI.