Nasional

56 rumah rosak dilanda pusaran puting beliung di Tanjong Bidara

Tidak sampai lima minit angin pusaran bagaikan puting beliung membadai empat buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara, Masjid Tanah, Melaka menyebabkan 56 buah rumah rosak dalam kejadian yang berlaku pukul 9.30 pagi tadi.

Empat daripada rumah terbabit rosak dan ranap malah tidak boleh didiami penghuninya memaksa mereka kini terpaksa bermalam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi buat sementara waktu.

Kampung Pasir Gembur adalah yang paling teruk menyebabkan 48 buah rumah rosak apabila sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin kencang yang turut terkesan ialah Kampung Air Hitam Darat membabitkan enam buah rumah manakala di Kampung Air Hitam Pantai dan Kampung Balik Batu, masing-masing sebuah
rumah serta Masjid Air Hitam Darat.

Mengambarkan kejadian ngeri berlaku di Kampung Pasir Gembur, Tanjong Bidara, Masjid Tanah seorang pesara Baharom Yunus, 65, berkata, dia terkedu melihat rumahnya yang terletak di tepi pantai bergegar seketika sewaktu angin puting beliung datang dari arah kiri dan kanan rumah.

“Tidak sampai lima minit hujan, pusaran angin puting beliung menerbangkan bumbung bilik tengah, dapur dan bilik air mujurlah saya sempat menyelamatkan diri,” ujar yang ketika kejadian berada bersama ibu mertuanya.


Ujarnya, dia dan ibu mertuanya sempat menyelamatkan diri ke tempat selamat sebaik bumbung rumahnya diterbangkan angin serta merosakkan stor di belakang rumahnya.

“Ini kejadian paling teruk berlaku sejak 25 tahun saya tinggal di sini. Sebelum ini ada juga berlaku ribut tetapi tidaklah seteruk yang terjadi pagi tadi,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, sebanyak 56 buah rumah di empat buah kampung dilanda puting beliung menyebabkan sebahagian daripada bumbung diterbangkan angin kencang, kerosakan siling, dinding dan sebagainya.

Empat kampung terlibat ialah Kampung Pasir Gembur melibatkan 48 buah rumah, Kampung Air Hitam Pantai enam buah rumah, Kampung Air Hitam Darat dan Kampung Balik Batu masing-masing sebuah rumah serta masjid Air Hitam Darat.

Salah sebuah rumah yang bumbungnya diterbangkan pusaran puting beliung di Kampung Pasir Gembur, Tanjong Bidara, Masjid Tanah, Melaka.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati penduduk kampung mula membersihkan rumah masing-masing terutama bumbung rumah bersepah di atas tanah yang diterbangkan angin dibantu penduduk kampung serta sembilan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Markas 3 Divisyen Kem Terendak, Sungai Udang.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Azhar Mohd. Noor, 38, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat itu disertakan angin kencang hingga menerbangkan sebahagian bumbung rumah serta bumbung garaj keretanya.

“Kejadian itu berlaku terlalu cepat hingga membuatkan saya jadi kelam kabut. Mujur saya dapat menyelamatkan diri daripada ditimpa bumbung yang diterbangkan,” ujarnya yang ketika kejadian beradaseorang diri.

 

Mohd. Azizan Daud.

Sementara itu Penghulu Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara, Mohd. Azizan Daud ketika ditemui berkata, daripada 56 buah rumah yang terlibat hanya empat buah rumah rosak teruk dan tidak boleh didiami penghuninya.

Menurutnya, empat keluarga terbabit dari Kampung Pasir Gembur terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi buat sementara waktu.

“Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dibantu Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN Tanjong Bidara sedang membuat penilaian kerosakan 56 buah rumah termasuk masjid yang rosak dilanda puting beliung,” ujarnya.

Beliau berkata, semua mangsa akan menerima bantuan daripada ADUN Tanjong Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) setakat ini. -SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button