SUDAH terang lagi bersuluh dalam siri lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir termasuk yang terbaharu di Kimanis semalam 18 Januari 2020, isu `ekonomi perut’ lebih menggamit sebahagian besar pengundi.
Biarpun isu rasuah, penyelewengan dan 1MDB dibawa, diperdengar dan dihujahkan di sana sini oleh jentera parti-parti bersekutu Pakatan Harapan (PH) terhadap mereka yang terpalit membabitkan kalangan pemimpin BN, ia seolah-olah kini sudah `basi dan tak laku’ buat pengundi.
Kelihatannya rakyat sudah bosan dan jelak dengan isu rasuah dan skandal 1MDB ini. Benarkah? Kalau begitu analisisnya, mengapa?
DIKERUMUNI PEMINAT
Jika dilihat dalam konteks dakwaan terhadap para pemimpin tinggi kerajaan terdahulu kebelakangan ini amat terasa seolah-olah tidak menjadi isu lagi bila seseorang itu didakwa di mahkamah. Dan kemudian masih dikerumuni peminat di majlis-majlis sosial dan politik.
Padahal, Undang-undang Perintah Am memperuntukkan apabila seseorang penjawat awam dikenakan siasatan berkaitan sesuatu salah laku atau kesalahan perundangan seperti rasuah, penipuan dan lain-lain, individu itu digantung khidmatnya buat sementara.
Selagi siasatan atau kesnya tidak selesai, selama itulah dia digantung jawatannya dan tidak dibenarkan berurusan dengan masyarakat.
Namun sebaliknya dalam kes-kes anggota pentadbiran, ahli Parlimen dan penjawat jawatan politik, penggantungan jawatan dan fungsi tidak dikenakan.
Situasi begini sekali gus mempersoalkan kesaksamaan undang-undang khasnya di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keseksamaan di sisi undang-undang. Sementelahan pula, pihak-pihak yang telah dihadapkan ke mahkamah mutakhir ini, mereka begitu bebas dan berleluasa menceburkan diri dalam kegiatan interaksi dengan orang ramai.
Sedangkan anggota pentadbiran awam, dalam tempoh perbicaraan, terpaksa mematuhi syarat-syarat penggantungan khidmat mereka sehingga keputusan kes masing-masing selesai di mahkamah.
‘BUAH TANGAN’ BAHARU?
Barangkali sudah sampai masanya bagi anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri-menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ahli Parlimen serta jawatan-jawatan politik yang lain menerima layanan sama seperti diterima penjawat awam.
Ini amat penting dijadikan amalan wajib demi teladan dan menghormati Perlembagaan negara dan tuntutan rule of law – satu-satunya istilah yang kerap disalah mengerti oleh masyarakat.
Cuma persoalannya di sini, jika `isu 1MDB, rasuah atau apa sahaja penyelewengan’ sudah tidak laku lagi dalam kalangan orang Melayu terutama pengundi-pengundi dalam lima PRK terakhir ini, maka apakah `buah tangan’ baharu dari PH untuk menarik sokongan pengundi?
Harus diakui, sebanyak mana laungan semangat PH, begitulah juga harapan rakyat yang melalui suara majoriti memilih dan meletakkan PH sebagai kerajaan mereka.
Biasalah, dalam perjuangan politik memang mudah tersua ungkapan-ungkapan hebat laksana menggegarkan jiwa dan lantas meraih sokongan.
Dalam keghairahan untuk menang pilihan raya, janji perjuangan menjadi asas dan landasan kepada sesuatu parti politik.
SEMAK SEMULA MANIFESTO
Maka, eloklah dalam tiga tahun mendatang ini, amat wajar PH untuk serius melihat kembali 11 janji utama mereka seperti yang diumum dan diterterakan di dalam buku manifesto mereka yang sekali gus menjulang mereka sebagai kerajaan hari ini:
*Hapuskan GST.
*Wujudkan sistem bersasar bagi harga minyak petrol.
*Hapuskan hutang tak wajar peneroka Felda.
*Menyamaratakan gaji minimum pekerja.
*Tangguhkan bayaran PTPTN bagi yang berpendapatan bawah RM4,000 sebulan.
*Siasat skandal rasuah untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
*Kembalikan status Sabah dan Sarawak.
*Kendalikan skim peduli kesihatan.
*Wujudkan skim caruman pendapatan suami untuk isteri yang tiada pekerjaan tetap.
* Mengkaji semula perjanjian tol untuk tujuan jalanraya bebas tol.
* Kaji semula projek-projek mega.
* Penyelarasan harga barangan dan keperluan asas.
Sementara rakyat masih menunggu realisasi janji-janji pilihan raya 2018, sebahagian intisari manifesto itu sudahpun ditunaikan mengikut larasannya sekalipun ia tidak menimbulkan manfaat yang jelas kepada rakyat.
Cuma sekali lagi dalam konteks ini, didapati skim penerangan PH berada di tahap rendah. RTM, Bernama, Jabatan Penerangan, antara lain, semacam entiti asing kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Pemerintahan PH pada masa sama sedang menerima kritikan bersasar berkaitan para menterinya yang dilihat masih ‘bertatih’ akibat terlalu kekosongan pengalaman mentadbir. Olahan dasar seperti kasut hitam bagi murid dan `air mobility atau super drone’ memeranjatkan rakyat. Sedangkan isu yang lebih penting ialah kos sara hidup yang mencanak naik.
Menggantikan sistem cukai GST dengan SST menimbulkan kekeliruan skala tinggi. Rakyat masih merasai kos barangan harian seperti makanan dan keperluan harian masih bersifat menghimpit kehidupan. Arenanya ialah di kedai runcit, pasar runcit dan pasar borong.Kerajaan tampak menemui jalan buntu dalam aspek ini.
Rakyat turut mendapati sistem ‘subsidi petrol bersasar’ tidak membantu kerana jarak harga dulu dan kini tidak dirasai. Jarak harga disel dan petrol dikatakan tidak realistik.
‘EKONOMI PERUT’
Rakyat tidak pandai berfalsafah dengan teori-teori pelik. Mereka mahu ‘duit di tangan dapat beli keperluan hidup’.
Mereka kecewa dengan skim PTPTN yang lain diumum, lain dilaksana. Dengan tol juga pengguna tidak terkesan dengan kelonggran bagi tempoh jam 11 malam hingga 5 pagi. Kepentingan GLC/SBK dalam syarikat-syarikat tol tidak dicerakin hakikatnya.
Isu ‘1MDB, rasuah dan penyelewengan’ biarlah mahkamah memutuskan.
Para pemimpin PH perlu mencorak hala tuju berfokuskan `ekonomi perut’ rakyat menuju Pilihan Raya Umum ke-15, yang didahului gelanggang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 selewat-lewatnya Mei 2021. – SM