Kalah 5 PRK terakhir, PH dalam bahaya
WALAUPUN dalam kedudukan seri 5-5 dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak 9 Mei 2018, Barisan Nasional (BN) masih memiliki kelebihan 2-0 mengalahkan Pakatan Harapan (PH).
Daripada 10 PRK sejak PRU-14 itu, lima kerusi berjaya dipertahankan oleh PH iaitu PRK DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan kerusi Parlimen Sandakan.
Tiga PRK lagi iaitu Parlimen Cameron Highlands, DUN Rantau dan terbaharu semalam 18 Januari 2020, Kimanis dipertahankan oleh BN.
Kelebihan 2-0 berpihak kepada BN apabila dua lagi iaitu PRK DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai berjaya dirampas kembali oleh BN.
Apakah makna kekalahan PH dalam persaingan lima PRK terbaharu pasca PRU-14 yang berlangsung pada 2019 dan memasuki gerbang 2020 ini?
Sejak PRK Port Dickson yang memihak PH menutup tirai 2018, PH kalah kesemua lima daripada enam PRK di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis , kecuali Sandakan yang dipertahankan DAP.
Jika dinilai dari perkembangan momentum 10 PRK ini yang menyaksikan BN kalah di kesemua empat PRK pada 2018 (Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson), tetapi pada 2019 dan awal 2020 ini pembangkang menang kesemua lima lagi, ia jelas bermakna `ekonomi perut’ benar-benar didambakan rakyat.
Rakyat masih terus menuntut teras-teras utama janji-janji PH dalam manifesto PRU-14 yang lepas. Mereka jelak dengan `analisis-analisis’ hutang negara, projek terbengkalai dan `kes-kes naik turun mahkamah’ yang kelihatan tidak diuruskan `rule of law nya dengan baik’.
Pendedahan sembilan klip rakaman audio berhubung dakwaan konspirasi pecah amanah, salah guna kuasa, serta pemalsuan bahan bukti melibatkan pemimpin kerajaan terdahulu empat tahun lepas (2016) yang tiba-tiba `dihidangkan’ semasa masuk hari kelima kempen PRK Kimanis, kelihatan agak janggal di mata pengundi.
Sebaliknya kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah ditahan polis membabitkan kes dadah kira-kira enam hari sebelum pengundian, lebih `mengusik’ pengundi.
Biarpun pengundi di Kimanis lebih tertarik dengan isu pas sementara Sabah (PSS) yang kelihatan impak negatifnya pelaksanaannya terhadap masyarakat tempatan selain isu bangsa, dua isu yang muncul tadi ibarat menambah `luka’ calon Parti Warisan Sabah.
Tahun 2018, PH mahu rakyat `ikat perut’. Rakyat perlu berkorban, kata mereka.
Bantuan dipotong atau dimansuhkan. Cukai SST menyebabkan harga barang naik dengan lebih tinggi lagi.
Waktu itu pasaran saham merosot sehingga menjadi paling corot dalam dunia kerana menteri mengatakan `tak reti untuk berhenti berbohong’.
Ramai yang `terbakar’ dan rugi teruk dalam pasaran saham serta unit trust.
Pelabur-pelabur asing berterusan tarik dana mereka keluar negara.
Dividen-dividen yang dibayar oleh tabung-tabung Rakyat seperti ASN/ASB dan Tabung Haji juga jatuh kepada paling rendah dalam sejarah.
Harga sawit tidak pulih sehingga timbul jenaka `rakyat disuruh minum sesudu sehari’.
Memasuki 2019, umum dihidangkan dengan prestasi merosot sebahagian menteri sehingga membawa peletakan jawatan menteri pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Janji-janji PH terus dituntut rakyat.
Adakah isu `1MDB dan penyelewengan’ sudah tidak laku lagi untuk didendangkan?
Walaupun dikatakan PH masih terselamat kerana masih ada berbaki tiga tahun lalu, ruang masa itu realitinya tidak lama. Singkat.
Post mortem segera dan serius perlu dilakukan.
Dalam setahun mendatang ini, PH akan memasuki gelanggang besar, Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang mandat memerintah Gabungan Parti Sarawak akan berakhir sekitar 7 Mei 2021.
PH mempunyai tugas besar. Suatu tanggungjawab berat buat pengerusinya yang juga Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. – SM