Nasional

Lelaki maut kereta terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan

Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandu terbabas di Kilometer 199 Lebuh Raya Utara-Selatan(PLUS) dekat Alor Gajah, Melaka petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supretendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian pukul 6.20 petang itu, Mohd. Zamri Poiman, 40, beralamat di Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta Honda Accord dalam perjalanan dari Utara menghala ke Selatan dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali serta terbabas
di kiri tepi lebuh raya.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” ujarnya dalam
satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian turut mendapati terdapat kesan tayar dan serpihan komponen
kenderaan ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam satu kejadian lain di Jalan Dalong, Jelatang-Gadek, Alor Gajah malam tadi, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta kira-kira pukul 9.15 malam.

Motosikal yang terbabit dilanggar sebuah kereta di di Jalan Dalong, Jelatang-Gadek, Alor Gajah, Melaka.

Arshad berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Shah Fiy Shahrin, 25, dari Kampung Kemuning, Alor Gajah, manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Saga sekadar mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta dari Alor Gajah menghala ke Gadek cuba memotong sebuah lagi kereta namun bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

“Kereta itu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok lalu terbakar manakala penunggang motosikal tercampak di atas jalan raya,” ujarnya.

Jelasnya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu serta penumpang kereta dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button