BADAL Haji ialah ibadat haji yang dilaksanakan oleh seseorang individu bagi pihak yang lain menurut syarat-syarat tertentu yang biasanya membabitkan persetujuan, perjanjian atau kontrak secara sukarela.
Ia melibatkan antara orang yang membayar upah dengan orang yang menerima upah untuk dilaksanakan ibadat haji untuk penama atau individu yang dipersetujui.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, wujud pelbagai cara pelaksanaan perkhidmatan Badal Haji yang dilakukan dan ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
“Antaranya ada agensi pelancongan yang mengambil upah Badal Haji untuk dilaksanakan oleh mutawwif ataupun kakitangan sokongan yang membawa kumpulan jemaah haji dari Malaysia kelolaan agensi tersebut.
“Bagi cara ini, kosnya mungkin tidak terlalu tinggi kerana mutawwif dan kakitangan sokongan ini tidak perlu membayar tiket penerbangan, tempat tinggal ataupun makan minum secara berasingan kerana telah pun dibiayai oleh agensi pelancongan tempat mereka bekerja.
“Selain itu, ada juga Badal Haji yang ditawarkan oleh individu yang sedia ada berada atau menetap di Mekah atau Madinah.
“Bagi cara ini, harganya mungkin sedikit tinggi berbanding cara pertama yang disebutkan tadi kerana individu ini mungkin memasukkan kos penginapan, pengangkutan tempatan, makan minum dan sebagainya dalam kiraan upah mereka,” ujar Nancy.
Nancy berkata demikian menjawab persoalan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima.
Dalam masa sama, Nancy menjelaskan bahawa urusan haji bagi jemaah dari Malaysia adalah di bawah bidang kuasa dan seliaan Lembaga Tabung Haji (LTH) serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hanya mempunyai kuasa kawal selia ke atas agensi pelancongan di Malaysia sahaja.
Semua ini pula berkait rapat dan tertakluk kepada syarat-syarat semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, seperti keperluan memiliki permit khas untuk memasuki Arafah, harga yang ditetapkan untuk permit tersebut dan sebagainya. Malah, ada peraturan ini yang berubah setiap tahun.
Syarat-syarat ini sememangnya diambil maklum oleh pihak Tabung Haji dan JAWHAR sebagai focal point agencies di Malaysia bagi urusan ibadah Haji.
“Kerana itulah, saban tahun kita mendengar peringatan dan nasihat yang dikeluarkan oleh Tabung Haji berhubung perkara ini. Ini belum lagi mengambil kira ada juga pihak yang menawarkan bersekali dengan ibadah korban, cenderamata dan banyak lagi.
“Justeru, terdapat banyak faktor yang menentukan kos untuk Badal Haji. Ada yang memberi justifikasi mengapa upah mereka dikenakan agak tinggi berbanding yang lain, malah ada juga yang memaklumkan sebab kos mereka dapat diminimakan,” jelasnya.
Disebabkan perkara itu, ia menjadi asbab Badal Haji tiada kawal selia pada masa ini namun peringatan dan kesedaran terhadap faktor-faktor ini sentiasa diwar-warkan oleh agensi-agensi Kerajaan termasuk MOTAC.
Artikel berkaitan > 34,000 pekerja asing diperlukan oleh sektor perhotelan