RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau rumah-rumah asnaf mangsa kebakaran yang berlaku pada 20 Julai lalu di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar semalam.
Baginda dipersembahkan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah, kepimpinan masyarakat setempat serta para pegawai daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Felcra.
Mangsa terbabit dalam bencana tersebut, Mokhtar Shamsudin, 65, yang tinggal bersama keluarga seramai 5 orang yang rumahnya terbakar 100 peratus, Mastura Mokhtar, 29, yang tingga bersama tiga ahli keluarga di mana rumahnya juga terbakar 100 peratus serta Shahrul Anuar Shariff, 23, yang tinggal bersama isteri dan rumahnya terbakar 30 peratus.
Amil Felcra Lubuk Sireh, Abdul Samat Hamat mewakili keluarga-keluarga mangsa berkenaan menerima kurniaan ‘Kit MAIPs Peduli’ dan juga beras fidyah daripada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs. – SM