Nasional

Prof Dr David Evans saran kurikulum pendidikan negara titikberatkan pendidikan khas dan inklusif

PROFESOR Adjung di Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr David Evans dari Universiti Sydney menyarankan agar pendidikan khas dan pendidikan inklusif perlu dititikberatkan dalam pelaksanan kurikulum pendidikan negara.

Beliau yang dilantik sebagai Prof Adjung FPM pada 1 Julai 2021 menjalankan pelbagai aktiviti bersama FPM terutamanya dengan Jabatan Pendidikan Khas bagi membantu memperkasakan pendidikan khas dan inklusif di UPSI, malah negara ini.
Menurut Dekan FPM, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, walaupun kesemua aktiviti yang dilaksanakan Prof Dr David secara online disebabkan kekangan pandemik COVID-19, namun perkongsiannya memberi manfaat bukan hanya kepada guru pelatih dan pelajar pascasiswazah UPSI, tetapi juga kepada guru-guru di daerah Muallim dan Batang Padang.

Prof Madya Dr Azmi menyampaikan cenderamata kepada Prof Dr David Evans (dua dari kiri).

Dr Talib berkata pada 15 Julai lalu Prof Dr David yang berpeluang berkunjung ke UPSI bertemu dengan barisan pensyarah Jabatan Pendidikan Khas dan Pengurusan FPM.

“Selaku Prof Adjung, Prof Dr David memberi impak kepada bidang Pendidikan Khas di UPSI, malah pihak FPM bersetuju untuk menyambung lantikan beliau bagi dua tahun lagi, “ katanya.

Prof David (lima dari kiri) diraikan warga FPM.

Dalam pertemuan bersama wakil eksekutif Universiti di Bilik Mesyuarat Utama Blok 9 Kampus Sultan Azlan Shah Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Prof Madya Dr Azmi Mohamed berbangga dengan sumbangan Prof Dr David yang meletakkan UPSI dalam peta rujukan dan bidang penyelidikan di Australia.

Menurut beliau cadangan perjanjian memorandum persefahaman (MOU) antara UPSI dan Universiti Sydney akan diteruskan dan pihak Jabatan Strategik UPSI akan memastikan perkembangan perancangan ini dapat direalisasikan tahun ini.

Hadir sama dalam pertemuan itu, adalah Pemangku Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Dr Kway Eng Hock dan barisan pensyarah Jabatan Pendidikan Khas UPSI.

Dr Kway berkata kerjasama ini sudah mula menunjukkan hasil dan beliau juga berharap lebih banyak peluang untuk menambahbaik aktiviti dilaksanakan bersama Profesor Adjung dalam meningkatkan lagi visibiliti dan impak penyelidikan bersama pada masa akan datang.

“Cadangan seminggu aktiviti bersemuka bersama Prof Dr David akan dijalankan pada bulan November ini, seperti seminar dan bengkel pendidikan khas sempena sambutan 100 tahun UPSI nanti, “ katanya.

Sempena kunjungan, Ketua pengiring Jabatan Pendidikan Khas, Dr Hasrul Hosshan turut membawa Prof Dr David Evans ke Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dan Pusat Mobilti Antarabangsa UPSI.

Prof David (kiri) menandatangani buku pelawat FPM

Menurut Dr Hasrul, peluang itu diambil untuk meneroka potensi kerjasama terutama dalam penyelidikan bidang inklusif pendidikan awal kanak-kanak dan mobiliti pelajar dan pensyarah sama ada secara in-bound atau outbound.

Prof Dr David berpendapat potensi perkembangan UPSI terus maju dalam banyak bidang dan ini perlu diteroka dan diperhalusi secara konsisten dalam memastikan usaha ini dapat direalisasikan dengan kejayaan bersama kerjasama Universiti Sydney.

Katanya, bidang pendidikan khas dan pendidikan inklusif perlu dititikberatkan dalam pelaksaan kurikulum pendidikan negara, demi memastikan setiap kanak-kanak bekeperluan khas dapat belajar dengan berkualiti seperti rakan tipikal mereka.

Sehubungan itu, katanya, ia memerlukan kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat dengan lebih komprehensif, bukan hanya bergantung kepada peranan guru pendidikan khas, tetapi peranan semua guru dalam perkhidmatan dan guru pelatih di Malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button