TVET: UniMAP kerjasama dengan OTH Regensburg, Jerman
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) memperkukuh jaringan strategik dan kolaborasi antarabangsa di Jerman melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Ostbayerische Technische Hochschule (OTH) Regensburg.
Dalam Majlis MoU itu, UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli manakala OTH Regensburg telah diwakili oleh Naib Presiden Penyelidikan dan Antarabangsanya, Prof Dr Oliver Steffens.
Turut hadir Pengarah Pusat Pengurusan Akademik Prof. Madya. Ir. Dr. Ruslizam Daud UniMAP dan Dekan-dekan OTH Regensburg.
Prof Ts. Dr. Zaliman berkata, kerjasama ini dilihat sebagai peluang baik untuk diceburi UniMAP bagi memperkaya pengalaman dan pendedahan teknikal yang lebih meluas kepada pelajar dan kakitangan seiring dengan hasrat pemerkasaan TVET negara.
Ujarnya, jalinan kerjasama ini turut melibatkan pertukaran kepakaran, pengetahuan dan teknologi, pembangunan kakitangan (profesional dan akademik), promosi pendidikan, latihan dan pembangunan untuk pelajar dan kakitangan serta peluang melaksanakan post-doctoral studies yang akan menempatkan pensyarah UniMAP di OTH Regensburg bagi menjalankan penyelidikan.
“Kolaborasi UniMAP – OTH Regensburg ini akan memberi tumpuan terhadap bidang penderia semikonduktor dan mikroelektronik yang diketuai oleh Prof. Madya. Ts. Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli di mana UniMAP turut telah diberi pengiktirafan sebagai Hub Pembuatan (Semikonduktor) ketika Minggu TVET Negara baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
OTH Regensburg yang diasaskan pada 1971 merupakan salah sebuah universiti Sains Gunaan terbesar di bumi Bavaria dan antara universiti awam terkemuka di Jerman.
Universiti ini juga terkenal dengan kecemerlangannya dalam bidang teknikal dan penyelidikan merangkumi Sains Gunaan, Mikroelektronik, Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi Penderia, Mekatronik, Biokejuruteraan, Sains Komputer dan Kejuruteraan Automotif.
Terdahulu, delegasi UniMAP turut menyertai lawatan kerja Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diketuai Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dengan lawatan pertama ke Fraunhofer Institute for Mechatronic Systems Design (Fraunhofer IEM) Paderborn, Jerman yang memiliki kepakaran dalam sistem automasi termaju, kecerdasan buatan (AI), mekatronik dan mekanikal. – SM