Mahkamah

99 saksi beri keterangan kes Zahid

 

SEBANYAK 99 saksi memberi keterangan perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pelbagai pertubuhan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan telah mengemukakan saksi bagi menguatkan pertuduhan termasuk dalam kalangan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak yang berurusan dengan Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Pagi ini saksi pendakwa ke-98 pagi ini pegawai penyiasat SPRM, Christ Sheldon memasukkan suatu percakapan salah seorang penderma RM10 juta kepada Yayasan Akal Budi.

Penderma tersebut adalah Wong Sang Woo, dalam kenyataannya berkata bahawa RM10 juta yang diberikan adalah derma bagi membantu golongan miskin dan program kebajikan.

Saksi turut menyatakan bahawa dia berjumpa Ahmad Zahid di suatu majlis makan malam dan bersetuju malah berbangga dapat menyumbang kepada suatu yayasan yang diasaskan oleh Ahmad Zahid.

Sementara saksi ke-99 merupakan penyiasat utama SPRM, Kharuddin Kilau akan menyambung memberi keterangan pada Khamis depan.

Secara keseluruhan sepanjang perbicaraan pihak pendakwa telah mengemukakan saksi dan telah disoal oleh pihak pendakwa dan disoal balas oleh pasukan peguam bela Ahmad Zahid.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Mejar Mazlina Mazlan mengaku di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa “blanket approval” daripada Ahmad Zahid untuk menggunakan cop tandatangan adalah atas anggapan sendiri.

Mazlina juga mengaku cop tandangan sepatutnya digunakan untuk sijil dan kad perayaan, telah dipakai secara cuai oleh beliau untuk menguruskan pembayaran kad kredit tertuduh menggunakan wang akaun Yayasan Akalbudi.

Perkara itu disahkan oleh ahli kimia, Siti Nur Musliha bahawa 32 keping cek digunakan bagi membayar kad kredit adalah menggunakan cop tandatangan bertulis Ahmad Zahid.

Pihak pembela juga menyatakan tertuduh mempunyai kemampuan untuk membayar kad kredit dan tidak perlu menggunakan wang yayasan.

Ejen insurans juga sahkan pernah berjumpa Maslina dan tidak pernah berurusan dengan Ahmad Zahid.

Mazlina juga memberitau ejen insurans bahawa dia memang menggunakan cek yang sudah ditandatangan terlebih awal untuk mempercepatkan pembayaran insurans kenderaan.

Bagi tuduhan memindahkan wang sebanyak RM17,953,185.21 kepada Tetuan Lewis & Co adalah kerana syarikat guaman itu pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi dan juga bertujuan melancarkan pengurusan yayasan berkenaan.

Pemindahan itu dibuat oleh Ahmad Zahid selepas mendapati Mazlina cuai ketika menguruskan dana yayasan dan saksi berkenaan juga pernah ditegur oleh tertuduh.

Berhubung pembayaran kepada TS Consultancy & Resources pula adalah bagi tujuan mencetak al-Quran dan pembinaan masjid dan bukannya untuk membantu Barisan Nasional (BN) mendaftarkan pengundi.

Saksi-saksi dari Persatuan Bola Sepak PDRM juga tampil mengesahkan telah memohon dana daripada Ahmad Zahid untuk membayar gaji pemain dan sebahagian sumbangan itu telah dibayar semula pada 14 Julai 2016.

Berhubung dengan cek kepada Armada Holdings Sdn Bhd adalah untuk pinjaman pelaburan. Pinjaman pelaburan dibenarkan dalam objektif Yayasan Akalbudi dalam Memorandum Penubuhan Yayasan Budi dan syarikat berkenaan telah membayar kembali pinjaman tersebut kepada yayasan terbabit.

Berkaitan dengan pertuduhan rasuah oleh Mastoro Kenny melalui Junaith Asharab, Junaith mengaku Ahmad Zahid tidak pernah menjanjikan projek MyEG kepada Mastoro Kenny Sdn Bhd. Janji telah dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Junaith juga mengakui bahawa cek-cek yang diberikan adalah bagi tujuan sumbangan dan amal jariah untuk yayasan milik Ahmad Zahid dan cek diberikan tanpa mengira memperolehi projek atau tidak.

Mengenai Data Sonic Sdn Bhd (DTSB), syarikat itu memperolehi projek mengikut prosedur ditetapkan dan mempunyai kelayakan melaksanakan projek berkenaan.

Selain itu kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan dan bukannya oleh Kementerian Dalam Negeri yang ketika itu Ahmad Zahid adalah menterinya.

Kontrak tersebut walaubagaimanapun masih belum ditandatangani oleh DTSB dengan Kerajaan Malaysia kerana terdapat beberapa terma yang belum dipersetujui.

Seorang lagi saksi Datuk Azlan Shah Jaffril memberitahu mahkamah bahawa cek-cek yang diberikan kepada Lewis & Co selaku pemegang amanah Yayasan Akalbudi bagi tujuan kebajikan dan sumbangan politik.

Bagi tuduhan mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 71 Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, mahkamah diberitahu oleh seorang saksi Murali bahawa syarikat berkenaan adalah pemegang amanah Yayasan Akalbudi dan bukannya Yayasan Al-Falah.

Selain itu tidak menjadi isu dan kesalahan apabila Murali memasukkan dana berkenaan untuk tujuan kebajikan itu ke dalam simpanan tetap kerana ia adalah prosedur wajid mengikut Solicitors’ Accounts (Deposit Interest) Rules 1990.

Pihak pembela juga menyatakan pembelian dua lot banglo oleh Yayasan Akalbudi untuk Yayasan Al-Falah mengikut prosedur dan ia digunakan untuk kegiatan agama.

Dalam pada itu seorang saksi penggurup wang Omar Ali Abdullah yang menukarkan 30 keping cek bernilai RM6,885,300.20 kepada simpanan tetap memberitahu mahkamah dia berbuat demikian atas inisiatif sendiri dan bukan arahan Ahmad Zahid.

Omar Ali juga akui perbuatan mengubah wang tunai kepada cek dibuat atas inisiatif sendiri sebab kesukaran untuk memasukkan wang tunai ke dalam bank yang dihadapi sebelum ini.

Saksi berkenaan juga memberi pinjaman dan menukarkan wang asing atas inisiatif sendiri dan bukan arahan tertuduh dan pada masa yang sama dana dimasukkan ke Yayasan Akalbudi adalah sumbangan Yayasan Al-Bukhary juga bagi tujuan kebajikan.

Saksi terakhir dijangka selesai memberi keterangan pada Khamis serta Jumaat depan. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button