Politik

Najib percaya PN tidak mahu laksana undi 18

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Kerajaan Perikatan Nasional tidak mahu melaksanakan undi 18.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, PN khuatir ketika ini ramai golongan muda marah terhadap kerajaan.

“Saya percaya kerajaan PN tidak mahu melaksanakan undi 18 sebab mereka percaya majoriti pemuda marah dengan kerajaan pada ketika ini,” kata Najib.

Beliau mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatim bahawa pelaksanaan kekangan yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan berikutan pelbagai kekangan.

Najib berkata, usul undi 18 telah diluluskan sebulat suara oleh semua ahli parlimen pada bulan Julai 2019 dan ianya akan dilaksanakan selewatnya dua tahun kemudian iaitu bulan Julai ini.


Menurut beliau sekiranya kerajaan tidak meluluskan pelaksanaan undi 18 tersebut akan membawa maksud penghinaan paling besar terhadap Parlimen dan proses demokrasi.

“Pendapat saya ialah jika ianya telah diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan atau mana-mana ahli parlimen yang berkecuali, maka Undi18 patut dilaksanakan mengikut jadual yang dipersetujui.

“Usul dengan majoriti dua pertiga menyokong boleh tukar Perlembagaan Persekutuan. Inikan usul dengan sokongan 100 peratus undi secara sebulat suara?” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Rais berkata, walaupun usul tersebut telah diluluskan namun memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama.

Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).

“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama.

“Setelah melihat situasi yang sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,” katanya semasa program Ruang Bicara yang disiarkan menerusi sebuah saluran televisyen kerajaan.

Para 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang ketika itu dipengerusi oleh Tan Sri Datuk Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.-SM

 

 

 

(Visited 180 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button