Nasionalpilihan

9 GRO ditahan, 9 lelaki dikompuan kerana berada di pusat hiburan

SEMBILAN wanita warga asing yang berkerja sebagai pelayan wanita (GRO) ditahan dalam serbuan yang dilakukan polis di Taman Shamelin Perkasa, Cheras malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10.20 malam hasil maklumat dan risikan.

“Sembilan wanita itu terdiri daripada tujuh warga Vietnam dan dua warga laos dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dan dua lelaki warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri,” katanya.

Gambar ihsan IPD Cheras

Menurut Muhammad Idzam, selain tangkapan, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang digunakan oleh pusat hiburan tersebut.

Selain itu, sembilan lelaki juga dikompaun kerana terlibat dengan aktiviti hiburan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ujian saringan air kencing juga mendapati enam lelaki tempatan, seorang Bangladesh dan 5 wanita Vietnam positif dadah,” katanya.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Jelasnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button