Berita

89 butir bom lama, peluru dijumpai lagi di Ipoh

IPOH 23 Dis. – Belum pun reda rasa terkejut sekumpulan pekerja syarikat penyelenggaraan dengan penemuan lapan bom lama yang masih aktif Jumaat lalu, hari ini mereka digemparkan lagi dengan penemuan puluhan objek serupa di lokasi sama.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, sebanyak 89 butir bom lama dan peluru tinggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di Pelabuhan Darat Terminal Kargo Ipoh di Jalan St John di sini semasa kerja-kerja mengorek tanah dijalankan kumpulan pekerja terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, ketika kejadian, kumpulan pekerja berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah bagi membina landasan baharu menggantikan landasan kereta api yang lama.

Katanya, semasa kerja-kerja tersebut sedang dijalankan, mereka telah menjumpai puluhan objek yang dipercayai bom dan peluru.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati, jumlah keseluruhan bom dan peluru yang dijumpai di kawasan itu adalah sebanyak 89 butir dan masih aktif.

“Antara yang ditemui ialah 30 butir bom jenis UXO ARTILLERY 105mm, 30 butir peluru 7.62 mm yang sudah berkarat dan 29 butir Land Bom Anti Personal Mines,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mengarahkan kontraktor supaya menghentikan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan tersebut untuk sementara waktu.

Katanya, anggota juga telah diarahkan membuat kawalan di pintu masuk tempat kejadian sehingga selesai.

“Kesemua bom dan peluru tersebut telah dibawa oleh anggota UPB IPK Perak ke Lapang Sasar Chenderiang di Tapah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada Jumaat lalu, lapan butir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua turut ditemukan di sekitar kawasan Pelabuhan Darat Terminal Kargo Ipoh di Jalan St John di sini.

Bom itu ditemukan oleh pekerja syarikat penyelenggaraan yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan berkenaan pada pukul 2.45 petang.

Mohamad Nordin berkata, kumpulan pekerja itu pada mulanya hanya menjumpai empat butir bom sebelum bom selebihnya ditemukan oleh UPB yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Empat objek besi yang menyerupai bom itu dijumpai pekerja terbabit sebelum mereka memaklumkan mengenai penemuan tersebut kepada pihak polis.

“UPB yang dihantar ke tempat kejadian segera menjalankan pemeriksaan sebelum turut menjumpai empat lagi objek serupa. Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lapan objek yang ditemui itu adalah bom lama,” katanya. -SM

Sumber : PerakGazette

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button