KADANG-KADANG ada pekerja yang merungut duit gaji bulanan dipotong untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekaligus mengurangkan jumlah wang yang diterima untuk dibawa pulang atau dalam istilah lain, take home pay.
Sebenarnya mana-mana pekerja tidak perlu merasa rugi mencarum pada PERKESO kerana sesiapa pun tak dapat menduga jika ditimpa musibah.
Ini kerana dalam tidak sedar, ada rakan-rakan sepencarum yang ditimpa kemalangan ketika berkerja, berada di tempat kerja ataupun dalam perjalanan menuju ke tempat kerja sehingga tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan.
Salah seorang pencarum PERKESO, Noor Azalina Arsad, 44, tidak pernah menduga dirinya ditimpa kemalangan semasa bekerja namun bernasib baik kerana adanya PERKESO.
Menceritakan kejadian yang menimpanya, beliau berkata, dia terjatuh tangga semasa bekerja dan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana kecederaan yang dialami.
“Pada malam itu semasa bertugas saya terjatuh tangga sehingga dimasukkan ke hospital dan semenjak dari hari itu, keaadaan saya tidak seperti sebelum ditimpa musibah.
“Saya mulai tidak sihat sehinggalah disahkan mendapat “slipped disc”,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan Cek dan Alat Pemulihan PERKESO kepada orang berinsurans di Kampung Behor Kudong, Simpang Empat, Kangar, Perlis.
Beliau terpaksa menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan, menerima peralatan pemulihan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.
Turut hadir pada majlis penyampan itu ialah Pengarah Perkeso Perlis, Basharudin Khalid.
Selain bantuan peralatan berupa tongkat, lain-lain barangan peralatan sokongan yang diterima oleh para penerima termasuklah lampin pakai buang, kerusi roda, katil dan “walking frame”.
Berbalik kepada perbualan wartawan SUARA MERDEKA, SHOLINA OSMAN dengan Noor Azalina, beliau berkata, dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia menerima pencen ilat RM524.40 setiap bulan sejak 2010.
“Sekurang-kurangnya dapat juga menampung kos rawatan dan keperluan lain,” katanya yang menetap di Kampung Padang Benta, Simpang Empat.
Sementara itu, Rozita Shafie yang mewakili kakaknya, Norhaslinda, 43, juga merupakan penerima pencen ilat sejak 2018 dan keadaaan Norhaslinda, menurut Rozita, tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan lagi.
Norhaslinda dimaklumkan kini terlantar di katil ekoran saraf yang dialaminya.
“Kakak memang tidak dapat menguruskan dirinya lagi dan sayalah yang menjaganya sepenuh masa,” kata Rozita secara terus terang.
Menurut Rozita, kakaknya menerima bantuan peralatan pemulihan seperti lampin pakai buang, susu dan “ripple matress”.
Manakala ibu dan ayah kepada Allahyarham Mohd Redzuan Nazri, pemandu lori yang maut semasa melakukan kerja-kerja penyiraman dilaluan kuari dengan Syarikat Pens Industries Sdn. Bhd., menerima replika cek pada majlis berkenaan.
Waris allahyarham turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan, RM1, 139.25 sebulan. – SM