SEBANYAK 84 individu telah ditahan di seluruh negara menerusi Operasi Khas-Vulture 1/2021 yang memberi fokus untuk membanteras sindiket Ah Long pada 6 dan 7 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, risikan telah dijalankan sebelum itu bermula 2 Julai lalu.
“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 tahun hingga 59 tahun dan dan siasatan awal mendapati mereka adalah ahli sindiket Ah Long yang aktif antaranya Sindiket Ahlong Geng 24 (Pulau Pinang), Sindiket Ah Meng (KL), Sindiket Andy (Kelantan), Sindiket David (Sabah) dan Sindiket
Ah Loi (Sarawak).
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua sindiket ini beroperasi sejak pertengahan tahun 2018,” katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan secara maya hari ini.
Menurut Mohd Kamarudin, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp yang menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta.
Ujarnya, kadar faedah pinjaman yang diberikan adalah 10% hingga 15% bagi tempoh seminggu dan jika pemimjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, ahli sindiket akan memberi ugutan menerusi telefon atau perbuatan khianat.
“Sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dan menawarkan pinjaman baru bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu.
“Ini bagi membolehkan sindiket meneruskan kontrak dengan peminjam dan memaksa
peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan,” katanya.
Jelasnya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas dokumen dan alat yang digunakan sindiket operasi Ah Long untuk beroperasi dan mengugut mangsa.
Tambahnya, kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
(Akta 400), Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 506 Kanun, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959. -SM