Politik

UMNO-Pas dah lama tak berbincang, faktor MN di penghujung jalan

SUMBER parti dan penganalisis memberitahu, hubungan di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah dingin. Itu menjadikan antara faktor yang menyebabkan Muafakat nasional (MN) berada di penghujung jalan.

Sumber UMNO mengesahkan kepada FMT hari ini, dua pemimpin parti Melayu terbesar itu sudah lama tidak mengadakan pertemuan dan tidak bercadang berbuat demikian dalam jangka waktu terdekat.

Sumber Pas turut mengesahkan perkara yang sama walaupun ketika nyawa MN yang ditubuhkan bersama oleh dua parti tersebut dilihat umpama telur di hujung tanduk kerana isu penyertaan Bersatu dalam gagasan tersebut.

“Sudah lama mereka, Zahid dan Hadi, tidak berjumpa. Lama sangat. Saya sendiri tidak ingat bilakah kali terakhir mereka berjumpa,” kata sumber itu.

Sumber lain berkata, kedua-dua pemimpin itu memang berpeluang untuk berjumpa bagi meleraikan masalah MN semasa sidang Parlimen namun tidak berbuat demikian.

“Dekat Parlimen adalah Zahid dan Hadi jumpa. Berselisih macam tu…tetapi jumpa macam tu saja, tak ada la duduk bersama-sama berbincang hala tuju parti masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, hubungan UMNO dan Pas dilihat tegang khususnya selepas Hadi menuduh UMNO engkar piagam MN kerana menolak cadangan membawa Bersatu masuk ke dalam gagasan itu.

Tuduhan Hadi itu mengundang respon keras daripada Zahid.

“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah,” kata Zahid minggu lepas.

Pas turut mencetuskan rasa tidak puas hati UMNO apabila bertanding sebagai sekutu Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu.

BN yang ditunjangi UMNO menang majoriti dua pertiga pada PRN itu, Pas kalah di semua lapan kerusi yang ditandingi termasuk tujuh dalam saingan dengan calon UMNO manakala Bersatu menang dua DUN.

Meskipun pemimpin tertentu Pas mendakwa Hadi belum menolak terus MN seperti yang dilaporkan media, penganalisis politik Azmi Hassan berkata, jangka hayat MN semakin pendek.

“Setakat ini memang MN seperti di penghujung jalan di mana kedua-dua parti, UMNO dan Pas masih berkeras antara satu sama lain terutama sekali mengenai Bersatu,” kata beliau.

Azmi yakin Hadi akan terus menolak MN jika isu Bersatu tidak diatasi tetapi berkata, kerjasama UMNO dan Pas boleh diselamatkan jika akar umbi Pas lantang menuntut pimpinan parti bekerjasama dengan parti itu.

“Hanya ada satu cara untuk Pas kembali kepada MN iaitu tekanan mesti datang dari akar umbi Pas kerana kita tahu akar umbi setia dengan parti tetapi dalam hal ini mereka berlainan pemikiran dengan kepimpinan.

“Faktor akar umbi mampu membuatkan kepimpinan berlembut sedikit dalam hal desakan pimpinan Pas agar UMNO terima Bersatu dalam MN,” kata Azmi.

Justeru beliau berpendapat, masa depan MN masih ada cahaya dalam suara akar umbi Pas yang mahu MN direalisasikan cuma ia dilakukan secara tersirat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button