Nasional

76% pesakit HIV berusia antara 20 hingga 39 tahun – KJ

Statistik terkini penghidap HIV meunjukkan kebanyakan jangkitan kini menular dalam kalangan orang muda dengan 76 peratus melibatkan mereka yang berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sejak beberapa tahun lalu, punca utama jangkitan HIV adalah melalui hubungan seksual berbanding jangkitan melalui jarum suntikan berkaitan penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Katanya, sebanyak 94 peratus daripada 3,146 jangkitan baharu HIV yang direkodkan tahun lalu adalah  disebabkan transmisi melalui kegiatan seksual.

Manakala empat peratus lagi jangkitan dikesan melalui perkongsian jarum suntikan dadah, satu peratus transmisi dari ibu kepada anak dan satu peratus lagi disebabkan oleh sebab-sebab lain.

Tambah Khairy Jamaluddin, sejumlah RM100 juta telah dibelanjakan untuk rawatan dan pencegahan penyakit berjangkit HIV dan AIDS tahun lalu sahaja.

“Usaha semua pihak terutamanya pelaksanaan program pertukaran jarum dan picagari serta rawatan terapi gantian metadon pada 2006 telah berjaya mengurangkan lebih separuh jangkitan di kalangan pengguna dan penagih dadah dalam tempoh lapan tahun selepas ia dimulakan.

“Oleh itu, kempen kesedaran dalam kalangan orang muda amat penting untuk dilaksanakan terutamanya mengenai pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif,” katanya.

Beliau menghadiri Majlis Makan Malam Gala Reben Merah dan Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah Sunway-Yayasan AIDS Malaysia (MAF) 2021 anjuran Yayasan AIDS Malaysia malam tadi.

Khairy Jamaluddin berkata, dalam usaha menyantuni dan membantu para pesakit HIV serta AIDS, masyarakat harus dididik supaya tidak mendiskriminasi golongan tersebut kerana selain cabaran kesihatan, mereka juga berdepan stigma dan persepsi negatif masyarakat.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button