Nasional

72 warga asing ditahan di Pudu

SEBANYAK 72 warga asing yang menghuni sebuah bangunan di Pudu, Kuala Lumpur telah ditahan dalam operasi bersepadu Imigresen dan polis semalam.
Serbuan bermula kira-kira pukul 5 petang itu merupakan operasi penguatkuasaan dan pematuhan di bawah Op Patuh yang di lancarkan oleh Menteri Dalam Negeri.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, majoriti warga asing itu tinggal dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak teratur serta tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
“Selain itu, kemudahan awam seperti lif, lampu tangga dan koridor tidak berfungsi dengan sempurna serta kawasan dalam bangunan yang dipenuhi sampah dan berbau busuk.
“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah memeriksa seramai 245 orang individu dan berjaya menahan seramai 72 orang warga asing yang daripada pelbagai warganegara yang berumur diantara 25 hingga 50 tahun,” katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, warga asing yang ditahan terdiri daripada 43 orang lelaki dan 29 orang wanita.
Jelasnya, semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang dinding yang telah diubah suai. Walau bagaimanapun, semua cubaan ini berjaya dikesan dan digagalkan oleh pegawai operasi.
“Selain itu, pegawai operasi terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakan rumah yang diperiksa penghuninya tidak memberikan kerjasama dan menyorok di dalam rumah dengan mematikan lampu.
“Lokasi ini juga dipercayai menjadi sarang pelacuran yang melibatkan wanita warga asing dan pernah beberapa kali diserbu oleh JIM sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa.
Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button