Nasionalpilihan

Gaduh hingga maut, lelaki warga asing ditahan

SEORANG LELAKI warga asing ditahan selepas jirannya membuat laporan polis kerana melihat supek pulang dengan kecederaan di muka dan badan yang berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 2.50 petang.

“Kita telah pergi ke sebuah rumah di kawasan Kota Damansara dan suspek yang berusia 40 tahun memberitahu dia telah bergaduh dengan seorang lelaki warga tempatan.

“Hasil soal siasat suspek telah menemukan mayat lelaki di kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di kawasan Kota Damansara. Mayat juga ditemukan dengan kesan tetakan di bahagian atas kepala,” katanya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, pemeriksaan di lokasi kejadian juga telah menemukan sebilah sabit yang dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa.


Hasil semakan, mangsa merupakan gelandangan yang tinggal di sebuah pondok dalam kawasan semak itu dan mempunyai satu rekod jenayah bersabit kes curi kenderaan.

“Suspek pula didapati tidak mempunyai rekod dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Siti Noridah Md Ayob di talian 019-6979891. -SM

(Visited 61 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button