Nasional

Lengkap dua dos vaksin: Kemungkinan diberi kelonggaran dimaklum lepas Aidiladha

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengumumkan kelonggaran buat individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 selepas Hari Raya Aidiladha.

Ismail Sabri berkata, pihak jawatankuasa teknikal sedang membuat kajian terperinci ketika ini dan akan diputuskan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Kita akan beri kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin.

“Sekarang jawatankuasa teknikal sedang mengkaji secara terperinci siapakah yang boleh bergerak dan dilonggarkan pergerakannya yang mendapat dua dos vaksin,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang mengkaji apakah sektor yang boleh dilonggarkan apabila para pekerjanya mendapat dua dos vaksin.

“Jadi perkara ini sedang diteliti selepas (esok) Aidiladha, kita akan umumkan,” katanya hari ini.

Untuk rekod pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat MPN minggu ini.

Kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang telah lengkap dos vaksin masing-masing.

Muhyiddin berkata, ia kemungkinan termasuk mempertimbangkan kebenaran merentas daerah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button