63 ekor ayam mati akibat serangan jantung
KIRA-KIRA 63 ekor ayam mati terkena serangan jantung kerana alunan muzik yang rancak dan kuat daripada pesta perkahwinan di India.
Pesta perkahwinan tradisional India tersebut turut menampilkan persembahan bunga api, tarian dan pancaragam yang didakwa telah menakutkan ayam-ayam teresebut.
Menurut laporan media antarabangsa, penternak ayam berkenaan, Ranjit Kumar Parida berkata, penganjur acara tersebut memasang muzik terlalu kuat sehingga dapat didengari di ladang ayamnya di Odisha pada tengah malam Ahad lalu.
Tambahnya, dia telah meminta penganjur tersebut memperlahankan bunyi kerana terlalu kuat dan menakutkan ayam-ayamnya.
“Bagaimanapun, mereka enggan mendengar permintaan saya bahkan seorang rakan pengantin lelaki memarahi saya,” katanya.
Parida berkata, doktor mengesahkan bahawa ayam-ayamnya mati akibat serangan jantung.
Oleh itu, Parida membuat laporan polis berikutan penganjur pesta perkahwinan tersebut enggan membayar pampasan atas kerugiannya.
Akhirnya, pihak polis berjaya memujuk penganjur untuk menyelesaikan masalah berkenaan secara persefahaman dan pemilik ayam sudah menarik laporan polis.
Sementara itu, AFP turut melaporkan, Profesor Zoologi, Suryakanta Mishra berkata risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan burung boleh meningkat akibat diganggu dengan pencemaran bunyi yang kuat.
Tambahnya, ayam dikawal oleh irama yang dipengaruhi cahaya semula jadi atau kitaran cahaya siang dan malam.
“Keseronakan atau tekanan secara tiba-tiba daripada muzik yang kuat akan menggangu jam biologi mereka,” katanya. -SM