Nasional

OPS CATUT 8.0: Peniaga ada dua hari bekerja kemuka dokumen, jika tidak bersalah

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) memberi tempoh dua hari bekerja kepada peniaga yang melanggar arahan pemantauan harga gajet dan peranti untuk mengemukakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

Sekiranya gagal mematuhi notis Page 2 tersebut maka ia merupakan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011, kata Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam, sebanyak 130 premis telah diperiksa yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi.

“Hasil pemantauan itu, 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan bagi suatu tempoh dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Pemantauan ini akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 25 Januari lalu dan mana-mana peniaga yang dikesan melakukan aktiviti mencatut akan diperiksa di bawah perundangan pencatutan,” katanya.

Tambahnya, mana-mana peniaga yang gagal mematuhi S.21(5), AKHAP 2011 tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

“KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik.

“Mana-mana peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan diambil tindakan yang tegas di bawah S.14(1), AKHAP 2011,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sehubungan itu, pihak kementerian juga ingin menasihatkan pengguna supaya menyimpan setiap resit pembelian yang dibuat bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku di masa hadapan, kata Rosol.

Beliau berkata, pengguna juga digalakkan untuk membandingkan harga dan mengetahui ciri-ciri pakej yang hendak dibeli yang menepati ciri minimum terutama keperluan pembelajaran atas talian serta tawaran pakej dari penjual sebelum membuat keputusan untuk membeli dari seseorang peniaga.

“KPDNHEP mengambil maklum tentang pelajar-pelajar sekolah yang terpaksa meneruskan pembelajaran secara atas talian semasa musim PKP dan keperluan terhadap perkakasan komputer, mesin cetak dan aksesorinya serta kelengkapan komunikasi. Ini akan meningkat permintaan yang tinggi terhadap barang keperluan tersebut.

“Sebagai langkah proaktif, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah melancarkan OPS CATUT 8.0 yang mana ia merupakan satu arahan pemantauan terhadap harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button