Man City rampas kedudukan teratas EPL
MACHESTER City merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris apabila membelasah West Brom 5-0 pada perlawanan pagi tadi.
Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu juga melebarkan kemenangan mereka kepada 11 perlawanan.
Ilkay Gundogan menjaringkan dua gol manakala Joao Cancelo, Riyad Mahrez dan Raheem Sterling masing-masing menyumbang satu bagi membolehkan City mendahului dengan satu mata di depan pencabar tetangga, Manchester United.
“Ini keputusan yang baik, secara keseluruhan ini persembahan baik dan tiga mata lagi,” kata Guardiola.
United bakal kembali menerajui liga apabila mereka menanti kunjungan Sheffield United awal pagi esok.
Namun berdasarkan prestasi minggu kebelakangan ini, City menunjukkan mereka sukar untuk disekat bago memburu gelaran ketiga dalam empat tahun.
Sejak tiga musim lalu pertarungan untuk mahkota EPL hanya membabitkan Liverpool dan City.
Namun Liverpool kini ketinggalan tujuh mata di belakang ekoran mencatat lima perlawanan tanpa kemenangan.