Hampir 500 penduduk di Kampung Balik Bukit, Tanjong Kling dekat sini masih trauma berdepan masalah pencemaran bau dan habuk daripada hampas kelapa sawit yang disimpan di kawasan terbuka di tanah milik Melaka Corporation (Mcorp).
Penduduk mendakwa ini kali kedua tanah milik Mcorp dijadikan tempat simpanan hampas kelapa sawit yang datang dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak dan kali pertama berlaku pada 2022.
Pengerusi Persatuan Penduduk Balik Bukit Tanjong Kling, Zainal Ahmad, 66, berkata, masalah pencemaran bau dan habuk kali kedua berlaku sejak empat bulan lalu itu telah memberi kesan terhadap kehidupan harian penduduk.
Menurutnya, kesan yang amat serius apabila ada penduduk mengalami gatal-gatal, sesak nafas dan hidung tersumbat hingga terpaksa mendapat rawatan di klinik serta hospital berdekatan.
“Sebanyak tujuh surat aduan berhubung masalah ini telah kita kemukakan kepada syarikat yang menyimpan hampas kelapa sawit, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mcorp dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kita turut kemukakan masalah ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi dan Tanjong Bruas Port agar bertindak segera menutup kawasan ini.
“Kononnya pada 15 Mac lalu tempat ini akan ditutup tetapi sebaliknya simpanan stok hampas kelapa sawit ini makin bertambah dan kami lihat lori treler silih berganti menghantar bekalan pada sebelah malam,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Zainal berkata, satu laporan turut dibuat di Balai Polis Tanjong Kling
pada 23 September tahun lalu serta kira-kira 150 penduduk telah
menandatangani surat petisyen membantah kawasan itu terus dijadikan tempat simpanan hampas kelapa sawit.
Sementara itu seorang penduduk yang juga Timbalan Persatuan Penduduk Kampung Balik Bukit, Azman Mohd. Yatim, 59, berkata, anaknya terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Klebang kerana masalah paru-paru.
Menurutnya, doktor mengesahkan paru-paru anaknya ada jangkitan kuman akibat terhidu habuk dari tempat simpanan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
“Saya terpaksa menanggung kos rawatan sebanyak RM20,000 dan doktor turut memberitahu anak saya tidak boleh terhidu habuk,” katanya.
Justeru dia berharap pihak yang bertanggungjawab untuk bertindak cepat untuk menutup kawasan itu bimbang keadaan kesihatan penduduk akan menjadi lebih serius akibat pencemaran tersebut.
Seorang suri rumah Surianti Mohamad, 49, berkata, rumahnya saban hari diselaputi habuk di dinding, cermin tingkap dan lantai.
“Saya penat dari siang hingga ke petang menyapu habuk yang tak henti-henti melanda rumah saya,” ujarnya.
Katanya, walaupun pintu dan tingkap rumah sentiasa tertutup namun habuk tetap memasuki rumahnya diterbangkan angin kencang serta ditambah cuaca panas ketika ini. – SM