Nasional

477 rakyat Malaysia pulang melalui KLIA jalani kuarantin wajib

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 477 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 semalam diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kesemua mereka pulang ke tanah air dari China, Indonesia, Qatar, India, Thailand dan Jepun.

Beliau berkata, polis membuat 1,455 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di kediaman dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Dari 10 Jun hingga 14 Julai lalu, Kementerian Kesihatan membuat saringan ke atas 18,154 individu di pintu masuk KLIA.

“Daripada jumlah ini, 18,081 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 73 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Ismail turut menyentuh tentang pemeriksaan yang dilakukan ke atas tapak-tapak pembinaan dalam usaha berterusan mengekang penularan wabak Covid-19.

Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membuat pemeriksaan di 43 tapak di seluruh negara melibatkan 103 penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan mendapati, 34 tapak pembinaan mematuhi SOP ditetapkan manakala empat tidak patuh SOP dan diberi nasihat, lima lagi tapak pembinaan tidak beroperasi, katanya.

Beliau berkata, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 834 premis perniagaan membabitkan peruncit (624), pemborong (180) dan pengilang (30), semalam.

Menurut beliau, 1,362 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP juga dijalankan dan mendapati 1,358 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala empat premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button