Jenayah

Operasi Benteng: 2,234 PTI, tekong dan penyeludup ditahan

OPERASI Benteng yang dilancarkan sejak 1 Mei lalu sehingga semalam telah berjaya menahan 1,598 pendatang tanpa izin (PTI), 526 tekong serta 110 penyeludup.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, pihak berkuasa turut menahan 54 bot dan 156 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.

Ismail Sabri berkata, semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 37,001 kenderaan bagi mengekang kemasukan PTI terutamanya di lorong-lorong tikus dan berjaya menahan lima warganegara asing atas kesalahan imigresen.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Operasi Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem).

Kesemua agensi di atas mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PTI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga berkata, 52 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, 11 individu direman, seorang dijamin manakala 40 lagi dikompaun.

Antara kesalahan ingkar PKP ialah aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial yang melibatkan 16 individu serta aktiviti melanggar prosedur operasi standard (SOP) membabitkan 36 individu, katanya.

Beliau menambah, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM telah membuat 64,414 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPP melibatkan 2,877 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 13,262 anggota.

Katanya lagi, pemantauan dibuat di 4,005 pasar raya, restoran (5,736),  penjaja (1,512), kilang (1,117), bank (3,862) dan 750 pejabat kerajaan, selain 1,104 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 128 terminal pengangkutan udara. – SM

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button