Nasional

417,470 individu lengkapkan 2 dos suntikan vaksin

SEBANYAK 417,470 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagi tempoh sama, 632,668 individu menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini seramai 1,050,138 orang.

Menerusi satu infografik dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi iaitu Selangor dengan 86,577 diikuti Sarawak (65,580), Kuala Lumpur (62,724), Johor (57,248) dan Sabah (54,817).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 57,664 individu, diikuti Perak (47,007), Sabah (42,344), Kuala Lumpur (35,542) dan Pahang (32,839).

Jumlah pendaftaran untuk program imunisasi itu pula seramai 8,687,372 orang atau 35.8 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi membabitkan 2,306,344 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU), manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button