Nasional

40 pensyarah Indonesia bakal ikuti Smart PHD di UPSI

Seramai 40 pensyarah dari Indonesia bakal menjalani pengajian peringkat Doktor Falsafah dengan menggunakan kaedah “Smart PhD” bagi melicinkan lagi perjalanan pengajian mereka sehingga tamat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) anjuran Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI yang diadakan di Dewan Jauhari, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, UPSI menerima delegasi Universiti Islam Negeri (UIN) Mahmud Yunus Batusangkar yang diketuai oleh Rektor, Prof Dr Marjoni Imamora.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sembilan pensyarah UIN Mahmud Yunus Batusangkar dan 31 pensyarah beberapa universiti lain bakal melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah secara “Smart PhD”.

Md Amin (duduk dua dari kiri) dan Marjoni ( duduk dua dari kanan) menandatangani memorandum perjanjian persefahaman di Dewan Jauhari, NCDRC, Kampus Sultan Azlan Shah.

“ UPSI mengalu-alukan kehadiran delegasi UIN Mahmud Yunus Batusangkar yang berhasrat menjalin kerjasama dengan UPSI dalam pelbagai bidang,” katanya.

Menurut Md Amin antara matlamat utama MoU bertujuan meningkatkan kobolehpasaran program pengajian Doktor Falsafah di bawah Fakulti Sains dan Matematik (FSM) khususnya program-program pengajian UPSI lainnya meluas ke negeri jiran Indonesia seperti kawasan pulau Sumatra.

“Melalui usahasama pelaksanaan program antara UPSI dan UIN Mahmud Yunus Batusangkar, akan dapat mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan kepakaran dalam bidang Sains dan Teknologi sekali gus memberi faedah kepada pelajar melalui pemindahan kepakaran dan kemahiran yang ada,” katanya.

Beliau berkata strategi utama kebolehpasaran program tersebut iaitu melalui Program Pesisir Khas (PPK) Doktor Falsafah secara berstruktur atau secara Smart PhD.

“Program ini memberi banyak kemudahan terutamanya pelaksanaan dan yuran pengajian dan calon pelajar doktor falsafah di bawah MoU ini akan mengambil program pengajian dalam bidang sains, komputeran, psikologi,dan pendidikan Bahasa Inggeris serta pendidikan lainnya.

Md Amin dan Marjoni bertukar dokumen perjanjian persefahaman yang ditandatangani.

Menurut beliau berlandaskan semangat kerjasama dan profesionalisme yang tinggi antara kedua-dua pihak, ia dapat memastikan aspirasi negara tercapai dalam membangunkan masyarakat berilmu yang akan dapat memacu negara mencapai matlamatnya menjadi negara maju.

UPSI, katanya, adalah institusi pendidikan yang melahirkan ribuan guru yang berkhidmat di seluruh negara Malaysia.

Prof Dr Marjoni Imamora dalam ucapannya berkata pertemuan dengan UPSI memberi pelunag membentuk kerjasama dalam bidang penerbitan, penganjuran persidangan, pertukar pelajar dan ahli akademik.

Beliau berkata langkah 40 pensyarah dari Batusangkar dan beberapa daerah lain mendaftar pengajian Doktor Falsafah di bawah Smart PhD dapat mempercepatkan proses pengajian untuk diselesaikan mengikut perancangan seperti waktu yang ditetapkan.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Bendahari, Mohamad Najib Mohamed serta Dekan FSM, Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button