ARNAB menjadi haiwan yang paling bermakna pada tahun ini sempena dengan perayaan Tahun Baru Cina.
Berikutan itu, Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis menyediakan kira-kira 40 ekor pelbagai baka haiwan comel yang berbulu ini sempena Tahun Arnab untuk dilihat oleh para pengunjung.
Semua arnab ini ditempatkan di Petting Zoo yang dibuka setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Pegawai Promosi Taman Ular dan Reptilia, Alia Mohd Zuber berkata, sebelum ini hanya ada 20 ekor arnab.
“Ia ditambah kepada 40 ekor supaya pengunjung dapat merasakan lagi keseronokan bermain dengan haiwan sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menganjurkan pertandingan mewarna bertemakan Tahun Arnab.
“Borang penyertaan boleh didapati di pintu masuk secara percuma dan boleh dikembalikan setelah siap diwarna,” katanya.
Sementara itu, kakitangan taman ini, Khairulnizam Nayan berkata, koleksi arnab di sini dari pelbagai baka termasuk dari luar negara.
“Arnab mudah dijaga dan haiwan yang jinak,” katanya.
Beliau berkata, dengan pelbagai baka ini sekaligus memberi pengalaman baharu kepada pengunjung bahawa arnab bukan sahaja berwarna putih dan bermata merah tetapi ada bahagian mata seperti panda dan badan gebu bagai permaidani. – SM