Nasional

395 penduduk flat Sri Labuan boleh berpindah

SERAMAI 395 pemilik rumah Perumahan Awam Sri Labuan di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur bakal berpindah ke rumah baharu mulai hari ini.

Rumah yang bakal mereka duduki itu adalah Residensi Razakmas 2, yang keluasannya hampir dua kali ganda lebih besar berbanding unit lama.

Penduduk di sana bakal menikmati rumah baharu selepas kediaman lama mereka tidak lagi kondusif dan memerlukan perbelanjaan tinggi untuk diselenggara.

Ini merupakan sebahagian daripada dasar Pembaharuan Semula Bandar Raya (Urban Renewal) yang sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur.

“Antara cabaran kerajaan pada masa kini ialah untuk menyediakan perumahan mampu milik untuk golongan miskin bandar, B40 terutamanya di kawasan yang pesat membangun seperti di Kuala Lumpur disebabkan nilai hartanah yang semakin tinggi.

“Selain itu, cabaran kerajaan juga untuk menjaga kebajikan golongan miskin bandar, terutamanya warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta serta penduduk program perumahan rakyat (PPR).

“Misalnya Perumahan Awam Sri Labuan ini yang berusia hampir 40 tahun telahpun usang, tiada kemudahan lif dan tempat letak kereta yang diselenggara.

“Ini menyebabkan keadaan menjadi sesak, tidak kondusif untuk didiami dan memerlukan penyelenggaraan yang agak tinggi.

“Alhamdulillah, Residensi Razakmas 2 ini dapat direalisasikan ini setelah tertangguh dikatakan sejak 10 tahun yang lalu.

Jadi saya hendak ucapkan syabas kepada Kementerian Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Tan Sri Annuar Musa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertungkus lumus memastikan segala permasalahan dapat ditangani sehingga Residensi Razakmas 2 ini dapat diserahkan pada hari ini, Alhamdulillah.”

Demikian ucap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam Majlis Penyerahan Kunci Residensi Razakmas 2 yang disempurnakan beliau tadi.

Usaha yang dilakukan kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan itu katanya adalah sebahagian daripada pelaksanaan Panduan Pembangunan Semula Kuala Lumpur.

Menurut Muhyiddin, panduan itu bertujuan membangunkan semula kawasan usang, tidak ekonomik dan disasarkan supaya menjadi kawasan berwajah baharu, moden dan mampu untuk berdaya saing.

Dalam pada itu, Annuar yang turut hadir dalam majlis berkenaan memaklumkan penduduk akan dibantu oleh DBKL untuk memudahkan urusan pemindahan.

Malah, mereka juga bakal menerima bantuan sehingga RM7,000 bagi tujuan menampung kos pemindahan rumah.

“Semua menerima kunci mulai pada hari ini setelah mereka menandatangani dokumen-dokumen tertentu.

“Dalam meeting (mesyuarat dengan penduduk) ada yang meminta maksimum tiga bulan untuk berpindah.

“Tetapi kita hendak menyegerakan seberapa boleh, tetapi kita boleh berunding, sebab kalau berpindah serentak nanti, lif berkenaan akan jadi ‘over use’.

“Boleh guna lori DBKL untuk mengangkat barang dan kemudahan-kemudahan yang ada kita minta untuk membantu supaya kosnya lebih rendah dan pada masa sama kita beri bantuan sumbangan kos pemindahan.

“Bagi rumah satu bilik kita beri RM3,000, dan RM7,000 bagi rumah dua bilik,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button