Politik

30 tahun Pas di Kelantan, tiada pembangunan menonjol – Wira Putra Kelantan

BARU-BARU ini Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra) menghantar memorandum kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menyatakan kekecewaan rakyat.

Dalam memorandum itu, pelbagai perkara dibangkitkan khususnya berkaitan dengan rakyat termasuklah soal kemudahan infrastruktur di Kelantan.

Malah, turut ditekankan adalah pembangunan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan sehingga didakwa kerajaan negeri gagal menyediakan peluang untuk meningkatkan pendapatan dan pekerjaan.

Oleh demikian, sorakan dan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ disifatkan sebagai retorik politik semata-mata walaupun sudah lebih 30 tahun Kelantan ditadbir oleh Pas.

“Sejak tahun 1990 sehingga sekarang, tiada sebarang pertumbuhan ekonomi yang rancak bagi mendorong rakyat meningkatkan pendapatan dan kewujudan peluang peluang pekerjaan amat tidak memberangsangkan.

“Amat malang lagi, setelah 30 tahun PAS memerintah Kelantan, tiada pelabur-pelabur asing yang ingin datang melabur di Kelantan.

“Tidak ada perusahaan-perusahaan ataupun kilang-kilang dibuka bagi membantu melancarkan ekonomi Kelantan yang mampu membuka peluang pekerjaan.

“Pembangunan prasarana terutama di daerah-daerah amat mengecewakan. Isu air bersih sehingga sekarang tidak dapat di atasi bukan sahaja rakyat tidak memperolehi air paip yang bersih.

“Namun, sentiasa terputus dan yang lebih teruk airnya pula berwarna kuning karat dan kotor.

“Hal ini turut diakui oleh Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II bahawa masalah bekalan air terawat turut membelenggu dan menjejaskan operasi hospital lebih 10 tahun.

“Ia bukan sahaja mampu menjejaskan kesihatan rakyat, malah keselesaan mengerjakan ibadah.”

Demikian kenyataan dalam memorandum berkenaan yang ditandatangani Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, Naib Ketua, Syed Mohd. Shahriman Syed Badrishah dan Setiausaha, Muhammad Farydzul Fareez Mohd. Bani

Turut menandatangan memorandum tersebut adalah Ketua Wira Putra Kelantan, Wan Muhammad Ridhwan Wan Abdul Rahman dan Naib Ketuanya, Muhammad Syahmi Halim.

Dalam pada itu, persoalan berkenaan kenaikan cukai serta kenaikan gaji dan bayaran bonus kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta barisan Exco sehingga RM50,000 turut dibangkitkan.

Menurut memorandum itu, pimpinan Putra pusat dan negeri menyifatkan Kerajaan Negeri sebagai hipokrit dan tidak bertanggungjawab.

“Kepimpinan kerajaan PAS sedikit tidak merasa malu dan ada perasaan tanggungjawab kerana dikala rakyat sedang menderita, mereka diberi kelulusan bagi mendapatkan kereta jenama Mercedes, bonus dan kenaikan gaji seolah-olah cakap tidak serupa bikin.

“Kelantan satu-satunya negeri yang lembab kerana tidak mempunyai pakej rangsangan bagi membantu rakyat dan segala janji kerajaan seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

“Pergerakan Wira Putra Kelantan tegas menyatakan kekecewaan yang teramat sangat terhadap kerajaan Kelantan,” jelasnya.

Wira Putra pusat dan Kelantan sebelum ini menghantar memorandum kepada Ahmad pada 23 Mac di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button