Lebih 30 kerbau Syukor mati akibat wabak
Lebih 30 ekor kerbau milik keluarga ‘Mowgli Malaysia’ Mohd Syukor Khamis di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu mati akibat wabak.
Dalam satu hantaran di Facebook Syukor Khamis, mendedahkan kerbau-kerbau berkenaan mati akibat wabak.
“Dugaan besar buat kami sekeluarga. Mungkin sekarang musim wabak. Kami sekeluarga mengharapkan doa dari semua agar musibah ini segera berakhir,” tulisnya.
Kerbau-kerbau berkenaan mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu dan dianggarkan mengakibatkan hampir RM200,000 kerugian dialami susulan kematian lebih 30 kerbau itu.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menenangkan Syukor sekeluarga untuk banyakkan bersabar menghadapi dugaan yang menimpa mereka.
Dr. Zulkifli berkata, setiap yang menimpa ada hikmah tersembunyi.
“Saya dimaklumkan, Syukor dan Pak Khamis amat sedih sekarang. Saya ingin berpesan untuk diri saya jua semua yang membaca; hidup dan mati milik-Nya. Jasad kita juga adalah milik-Nya. Sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah SWT. Maha Suci Allah yang mengikat pertalian kasih antara manusia dan haiwan dengan sebegitu erat.
“Insya-Allah ada hikmah yang tersembunyi di sisi-Nya.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَ”
Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang,” kata Zulkifli.
Gambar Syukor bersama kerbaunya memenangi kategori manusia/jalanan Asiangeo bagi Images of Asia bagi bulan Ogos.
Penyertaan dibuat oleh Yusof Madi itu bertajuk ‘Kanak-kanak dan Kerbau’.-SM