Jenayah

246 individu termasuk remaja bawah umur dikompaun langgar PKPP

SEORANG remaja bawah umur antara 246 individu dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)  di dua pusat hiburan di Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang berumur antara 15 dan 63 tahun itu didapati tidak mematuhi penjarakan fizikal dan peraturan ditetapkan di bawah PKPP.

“Kesemua mereka diperiksa menerusi  operasi bersepadu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) IPK Johor, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Selatan serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), mulai 10 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada 246 individu itu, polis menahan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun kerana saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan seorang lelaki rakyat Singapura berumur 63 tahun kerana gagal mengemukakan pasport.

Beliau berkata, lima lelaki rakyat asing, masing-masing seorang rakyat Taiwan, Nigeria, United Kingdom, China dan Yaman serta enam wanita melibatkan seorang rakyat Indonesia dan lima warga Thailand, turut ditahan kerana didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan.

Remaja lelaki berkenaan direman mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki Singapura dan 11 lagi warga asing terbabit mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c)  Akta Imigresen 1959/63. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button