Hiburan

Pelakon, krew produksi berharap sinar di hujung terowong

Patuh PKP dapur tak berasap

MACAM tak laku. Bersuara pun tiada siapa yang sudi mendengar. Menulis di media sosial Facebook pun disuruh senyap.

Siapa yang boleh bersuara? Siapa yang mampu untuk membawa suara mereka yang tergolong dalam golongan pekerja di belakang tabir yang entah esok, entah lusa, bakal ditendang keluar dari rumah sewa masing-masing kerana tidak mampu untuk melunaskan sewa rumah.

Kereta yang dipakai juga mungkin akan ditarik balik oleh bank kerana sudah pasti, tidak ada share dengan pihak bank. Melainkan bank-bank tu, “Bapa ana yang punya!”

Sehingga ke hari ini, belum ada kata putus tentang bilakah golongan produksi yang terlibat dalam penggambaran drama boleh meneruskan kerja-kerja mereka yang terbantut gara-gara wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pihak berwajib seperti FINAS tidak bersuara. Presiden-presiden persatuan karyawan yang di luar sana pun senyap juga.

Ada segelintir kecil pelakon drama televisyen yang menyuarakan rasa simpati terhadap nasib krew produksi yang masih belum tahu, untung nasib mereka.

Ada yang cuba bersuara menerusi media sosial Facebook tetapi ‘disuruh’ diam.

Siapa? Tidak perlu diberikan nama beliau tetapi cukup

sekadar diberikan gambaran, individu yang bersuara itu ialah seorang dramatis, pengarah dan aktor senior dalam industri.

Desakan dibuat agar pihak yang berwajib mengambil kira kesusahan yang dihadapi oleh krew-krew produksi termasuk para pelakon yang tidak ada job.

Siapa yang akan menghulurkan wang ringgit untuk membantu mereka melunaskan segala macam bil-bil tertunggak?

Itu tidak masuk makan minum anak bini di rumah.

Catatan-catatan dan nukilan-nukilan tempias menghiasi status Facebook tetapi ia tetap dipandang sepi.

Apa yang berlaku hari ini, katanya, lebih teruk daripada situasi gawat yang pernah melanda negara sekitar tahun 1997/1998.

Walaupun golongan yang terlibat dalam industri penggambaran bersabar dan berdoa agar mereka dibenarkan kembali bekerja, namun kesabaran mereka itu perlu disusuli dengan tindakan yang proaktif.

Fikirlah nasib golongan ini juga kerana mereka yang bergaji besar, tidak terasa keperitan dan kesusahan hidup seperti yang dirasai oleh golongan kreatif ini.

Tunggu dan tunggu lagi. Kita lihat sama ada esok aka nada ‘hero’ yang tampil membawa suara golongan produksi ke tengah – Membenarkan mereka kembali menjalani kerja-kerja penggambaran. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button