19 bayi lahir sempena Maulidur Rasul di Hospital Melaka
Seramai 19 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di Hospital Melaka hari ini membabitkan lapan bayi lelaki dan 11 perempuan dengan kelahiran pertama bayi lelaki pada pukul 7.05 malam tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, seramai 13 bayi dilahirkan secara normal manakala enam lagi terpaksa melalui pembedahan.
“Alhamdulillah semua bayi yang dilahirkan termasuk ibu berada dalam keadaan yang baik walaupun ada terpaksa menjalani pembedahan.
“Saya mengucapkan rasa syukur sambutan Qurratu A’yun dihidupkan semula bagi meraikan bayi yang lahirpada 12 Rabiulawwal pada setiap tahun.
“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara program ini tidak dapat dilaksanakan sebagai memperingati hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan cenderahati Bayi Qurratu A’yun di Hospital Melaka di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md. Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.
Sulaiman berkata, beliau berharap bayi-bayi yang dilahirkan bermula selepas maghrib malam 12 Rabiulawwal 1444H diraikan sebagai Qurratu A’yun.
“Ia bermaksud bayi ini akan menjadi anak yang menyejuk mata sentiasa menggembirakan hati ayah dan ibu serta menjadikan baginda Rasulullah sebagai contoh terbaik menjalani kehidupan,” ujarnya.
Menurutnya, program tersebut adalah anjuran bersama MAIM, JAIM dan Hospital Melaka.
Sementara itu seorang ibu Nurul Syaza Shahirah A. Samsuddin, 26, seorang suri rumah melahirkan rasa syukur anak keduanya lahir sewaktu hari kelahiran baginda Rasulullah.
Katanya, dia tidak menyangka dapat melahirkan bayi sewaktu sambutan Maulidur Rasul.
“Saya harap anak kedua ini menjadi anak yang soleh dapat membanggakan saya dan bapanya di samping dapat berkhidmat kepada masyarakat,” ujarnya yang tinggal di Alor Gajah. -SM