Nasionalpilihan

16 pasangan suami isteri naik kapcai Jelajah Malaysia 2.0

Sebanyak 15 pasang suami isteri menaiki motosikal kapcai adalah antara peserta dari Kelab Asamboi, Bukit Rambai dekat sini yang akan menyertai Jelajah Malaysia 2.0 selama lima hari bermula esok hingga Sabtu ini.

Presidennya, Roslan Mohd. Salleh berkata, sebanyak 30 motosikal kapcai akan memulakan perjalanan menjelajah Malaysia adalah kali pertama dianjurkan oleh kelab persatuan itu.

Menurutnya, program itu dianjurkan adalah untuk memberi pengalaman kepada semua peserta yang pertama kali menaiki motosikal kapcai menjelajah seluruh semenanjung secara berkonvoi selama lima hari.

“Program ini juga adalah untuk mendidik para peserta untuk menunggang motosikal secara berhemah dan paling penting merasai pengalaman berkonvoi.

“Apabila berkonvoi kita bergerak secara beramai-ramai dengan disiplin dan dapat memastikan keselamatan sepanjang tempoh lima hari.

“Di samping berkonvoi kita juga akan menyampaikan bantuan barangan keperluan dan wang tunai kepada dua keluarga daif di Tanah Merah, Kelantan,” ujarnya di sini semalam.

Menurut Roslan, antara motosikal kapcai yang menyertai jelajah itu ialah tiga buah Yamaha Y15ZR, sebuah Yamaha XMAX 250 dan selebihnya adalah Honda RS150 selain sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah kereta.

Beliau berkata, perjalanan sejauh 2,200 kilometer (km) pada hari pertama bermula dari Bukit Rambai ke Kluang, Mersing, Rompin dan bermalam di Balok, Pahang manakala pada hari kedua pula
melalui jalan pantai Terengganu menuju ke Kampung Jalok, Tanah Merah Kelantan.

“Di sini kita akan menyerahkan bantuan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada dua keluarga miskin di Kampung Jalok, Tanah Merah, Kelantan,” ujarnya.

Jelasnya, konvoi akan menjelajah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan sebelum kembali ke Bukit Rambai pada Sabtu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button