pilihanSukan

Mohamad Ali Mohamad dipilih teraju Pesaka Melaka

Persekutuan Silat Melaka (Pesaka) bakal mengadakan kejuaraan silat tertutup Melaka bagi mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan mewakili negara serta bergelar juara dunia.

Yang Dipertua Pesaka Melaka yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, hampir 23 tahun tidak ada atlet dari negeri ini bergelar juara mengikut jejak langkah lima bekas juara dunia sejak 1987 hingga 2000.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut tidak ada pesilat dari negeri ini mampu mengikut jejak langkah juara dunia 1987, Ahmad Wardi Salim, Ahmad Faizal Omar (1994), Bibi Aishah Golbal Shah (1997), Mohd. Arif Khamis (2000) dan Siti Sharnani Buang (2000).

“Menjadi tanggungjawab saya untuk menaikkan semula nama Pesaka Melaka bagi melahirkan atlet berpotensi untuk diketengahkan mewakili negara khususnya untuk bergelar juara dunia.

“Sudah tiba masanya Melaka melahirkan lebih ramai pesilat berwibawa yang perlu kita cungkil dari bangku sekolah kerana sudah lama nama atlet negeri ini tidak membawa cabaran negara,” ujarnya di sini semalam.


Mohamad Ali dipilih sebagai Yang Dipertua yang baharu selepas menang tanpa bertanding pada Persidangan Tahunan Pesaka Melaka di Baitul Tariq, Klebang Permai, Sabtu lepas.

Turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua menjadi milik Profesor Madya Mohd. Ariff Mat Hanafiah. Turut mempertahankan jawatan ialah Profesor Madya Dr. Hasrol Jono bagi jawatan Naib Yang Dipertua dan Setiausaha, Bibi Aishah.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, bagi tujuan melahirkan lebih ramai pesilat dalam kalangan remaja beliau berhasrat untuk membuka tiga lagi Akademi Silat Olahraga yang baharu di Jasin, Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Menurutnya, ketika ini sebanyak tiga akademi berkenaan telah wujud di Batu Berendam, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Seligi Putera Pantai Peringgit.

“Usaha kita selepas ini adalah untuk mengalakkan lebih ramai remaja menjadi pesilat dan kapasiti akademi sedia akan dipertingkatkan dengan beberapa kemudahan lain bagi menarik minat golongan terbabit,” ujarnya.

Lebih penting katanya, beberapa cawangan Pesaka Melaka akan dibuka di seluruh daerah di negeri ini dalam usaha untuk memartabatkan semula silat. – SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button