15 rumah terjejas tanah runtuh kosongkan kediaman
KUALA LUMPUR: Kesemua penghuni dari 15 rumah di Jalan Bukit Permai 1, Taman Bukit Permai yang terjejas akibat tanah runtuh baru-baru ini mengosongkan kediaman mereka selepas satu lagi tanah runtuh melanda kawasan itu, semalam.
Ini berikutan perintah pemindahan pihak berkuasa tempatan yang dikeluarkan atas nasihat pasukan teknikal yang bimbang struktur tanah dan cerun tidak selamat berterusan berikutan tanah runtuh pada pukul 7.10 malam.
Ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23, Mohamad Saat berkata, penghuni terbabit hanya membabitkan satu deretan rumah di Jalan Bukit Permai 1 dan tidak membabitkan satu lagi deretan rumah berdekatan.
“Hanya deretan 15 rumah yang bernombor genap iaitu kediaman bernombor dari (No) 56 hingga (No) 84, yang penghuninya diarah berpindah, manakala satu lagi deretan kediaman tidak diberi arahan.
“Jadi, tidak timbul isu, ada penduduk di situ mendakwa tidak menerima arahan pemindahan kerana arahan itu diberikan pada malam kejadian selepas kejadian tanah runtuh semalam,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.
Mohamad berkata beliau mengetuai pasukan pemindahan dan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan MPAJ Cheras Baru, Kampung Cheras Baru dekat sini untuk penduduk yang dipindahkan.
Bagaimanapun, katanya setakat ini, tiada penduduk terjejas berpindah ke PPS kerana mungkin lebih selesa tinggal sementara di rumah keluarga atau rakan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, dilaporkan berkata kejadian tanah runtuh pada pukul 7.10 malam itu berada di lokasi yang sama dengan kejadian pertama Khamis lalu yang meragut empat nyawa.
Tambahnya, MPAJ telah mengarahkan penghuni 15 rumah di Taman Bukit Permai yang terletak berhampiran cerun runtuh itu supaya berpindah selepas kajian Jabatan Mineral dan Geosains mendapati tanah itu tidak stabil menyebabkan ia tidak selamat untuk penduduk.
Sementara itu, difahamkan satu dialog melibatkan MPAJ dan pihak berkuasa lain yang berkaitan dengan lebih 50 pemilik rumah yang terjejas akibat tanah runtuh Taman Bukit Permai 2, telah diadakan di Dewan MPAJ Cheras Baru hari ini.
Sesi dialog tertutup pada 2.30 petang itu dihadiri ahli parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat.