15 calon Bebas nafi ditaja DAP
MELAKA – Gagasan Bebas yang merangkumi 15 daripada 22 calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini menafikan mereka menerima sumbangan atau dana yang ditaja oleh DAP seperti yang tular di laman sosial Facebook kata Setiausaha Sekretariatnya, Muhammad Zaki Omar.
Beliau berkata, calon-calon bebas yang bertanding itu tidak ditaja oleh mana-mana parti politik sebalik bergerak atas sumbangan dan dana daripada seluruh rakyat Malaysia.
Menurutnya, pelbagai tomahan mula dilemparkan kepada calon Gagasan Bebas dengan sengaja mahu mereka menarik diri daripada bertanding dalam PRN, Sabtu ini.
Sebelum ini ujarnya, tular di media sosial kehadiran mereka di pentas PRN dengan sengaja menuduh mereka ditaja oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM18 juta.
Sehubungan itu katanya, seorang calon yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Kamisan Palil telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru kira-kira pukul 8.49 pagi ini.
“Memang tidak benar tuduhan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab bahawa 15 daripada calon Bebas ini ditaja oleh DAP.
“Saya minta orang ramai jangan percaya segala tomahan dan spekulasi yang dibuat dengan sengaja untuk memburukan imej calon,” ujarnya melalui satu kenyataan di aplikasi WhatsApp.
Muhamad Zaki menegaskan kesemua calon tersebut bergerak dengan sumbangan daripada orang ramai yang prihatin terhadap mereka bertanding dalam PRN ini.
Jelasnya, mereka berdepan kesempitan kewangan seperti untuk memasang bendera, poster, bunting disetiap DUN yang ditandingi ketika hari mengundi berbaki empat hari.