LALUAN kontra akan menjadi alternatif baharu penyuraian trafik bagi mengelak kesesakan teruk terus berlaku di kawasan tumpuan pelancong pada setiap malam Sabtu kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Menurutnya, usaha mengaktifkan laluan kontra itu dibuat ekoran masih berlaku kesesakan sejak pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan dari persimpangan lampu isyarat Padang Nyiru hingga Menara Taming Sari.
Beliau berkata, pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada petugas trafik polis untuk menentukan laluan kontra baharu yang dapat membantu kelancaran trafik di negeri ini.
“Saya melihat dan memantau kesesakan trafik di Banda Hilir hari ini dan kita ada beberapa kaedah baharu yang akan wujud iaitu laluan kontra serta akan ada penambahbaikan.
“Ramai pengguna jalan raya masih belum biasa dengan laluan kontra yang kita sudah buat dan ini menyebabkan beberapa kawasan agak sesak.
“Saya tanya pada pihak polis trafik kenapa sesak yang luar biasa hari ini dan hasil makluman pada malam ini sahaja dianggarkan lebih 30,000 kenderaan masuk ke Melaka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mural Evolusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lawatan Tapak Santai@Banda Hilir sempena TMM2024 di Jalan Mahkamah di sini malam tadi.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, berdasarkan kehadiran pengunjung yang tidak dijangka menyebabkan laluan kontra sedia ada akan ditambah baik.
Katanya, salah satu laluan kontra yang telah dilaksanakan ialah membabitkan Jalan Banda Kaba-Jalan Chan Koon Cheng menghala ke arah persimpangan berdekatan Hotel Equatorial.
Pada asalnya laluan itu adalah jalan sehala dari persimpangan berdekatan Hotel Equatorial menuju ke Banda Kaba namun sebagai laluan kontra ia telah diubah berpatah balik dari Little India melalui Jalan Banda Kaba menghala ke persimpangan berdekatan Hotel Equatorial.
“Kita dapat lihat tidak berlaku lagi kesesakan teruk di laluan hadapan Littel India,” ujarnya. – SM