MahkamahNasional

14 Julai rayuan remaja bunuh 23 penghuni pusat tahfiz diputuskan

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menetapkan 14 Julai ini untuk menyampaikan keputusannya terhadap rayuan seorang remaja yang didapati bersalah membunuh 23 penghuni yang juga pelajar dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Abu Bakar Jais, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun juga akan memberi keputusan pada hari yang sama berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan seorang lagi remaja bagi pertuduhan itu tanpa mengarahkannya membela diri.

Abu Bakar yang mengetuai panel itu berkata, mereka tidak bersedia untuk memberikan keputusan itu hari ini kerana perlu meneliti penghujahan lisan dan bertulis yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Sebelum itu, panel mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling dan Peguam Haijan Omar berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan dan melepaskan remaja kedua berusia 22 tahun atas kesalahan itu tanpa memanggilnya membela diri.

Rayuan remaja pertama terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang mendapatinya bersalah terhadap kesalahan itu dan memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang-di-Pertuan Agong, didengar pada 9 Mac lepas.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berusia 16 tahun itu ketika kejadian, bersama seorang lagi individu tidak dikenali, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 orang yang menghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.

Terdahulu, semasa prosiding hari ini, How dalam hujahnya menggesa mahkamah supaya memerintahkan remaja kedua membela diri atas pertuduhan itu.

Beliau berkata, adalah mustahil bagi seorang individu menyebabkan kebakaran di sekolah itu kerana terdapat dua tong gas seberat 14 kilogram (kg) setiap satu dibawa dari tingkat bawah sekolah ke tingkat dua melalui tangga.

Beliau berkata, satu tong gas diletakkan secara melintang di pintu manakala satu lagi secara menegak dan petrol disimbah ke pintu serta api dinyalakan.

“Mustahil untuk seorang melakukannya, ia dilakukan oleh dua orang,” katanya sambil menambah bahawa secara fizikal, orang kedua ialah responden (remaja kedua).

Beliau berkata, bukti mengikut keadaan menunjukkan terdapat empat individu iaitu remaja pertama dan kedua serta dua lagi lelaki yang bersaudara dilihat di belakang sekolah tahfiz itu.

How berkata, remaja pertama dan seorang lagi individu tidak dikenali telah memasuki pusat tahfiz dengan memanjat pagar belakang pusat berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan susuk tubuh remaja kedua yang bertubuh kecil dan kurus, remaja kedua mampu melalui celah kecil pagar dawai duri untuk masuk ke perkarangan sekolah berbanding dua beradik yang gempal.

Sementara itu, Haijan yang mewakili kedua-dua remaja itu berkata, tiada pengecaman positif bahawa remaja kedua itu telah memasuki sekolah tersebut dan menambah mereka tidak boleh mengetepikan bahawa dua beradik itu memasuki sekolah tersebut.

Beliau berkata tiada bukti menunjukkan remaja kedua terbabit dalam jenayah itu dan remaja itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri. – BERNAMA – SM

BACA PAUTAN Nasib remaja bakar tahfiz hingga 23 terbunuh diketahui esok

BACA PAUTAN Bakar tahfiz hingga 23 terbunuh: Remaja dipenjara selama diperkenan Agong

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button